5 Lokasi Terbaik Untuk ‘Hiking’ Dengan Pengalaman Menakjubkan Di Malaysia

5 Lokasi Terbaik Untuk ‘Hiking’ Dengan Pengalaman Menakjubkan Di Malaysia
Sukan dan Senaman


Yang belum cuba mungkin tertanya-tanya apalah seronoknya aktiviti hiking ni kan? Masuk hutan dengan trek yang berliku malah terdedah dengan risiko-risiko kecederaan dan sebagainya. Ha, tula orang kata, belum cuba belum tahu.

Kebanyakkan orang menyukai aktiviti hiking kerana dapat menikmati kehijauan hutan serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Aktiviti ini agak ekstrim jika laluannya mencabar namun itulah yang dicari oleh kebanyakan orang. Lari dari kesesakkan kota dan kembali kepada alam semulajadi pastinya dapat menenangkan minda. Aktiviti seperti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan anda dengan pasangan, keluarga mahupun rakan-rakan. Khas untuk anda yang sedang mencari lokasi menarik di Malaysia untuk hiking hujung minggu nanti, jom lihat senarai di bawah ini.

Bukit Panorama, Sungai Lembing, Kuantan

Bukit Panorama, Sungai Lembing, Kuantan
Bukit Panorama ialah sebuah bukit yang terletak di Sungai Lembing, 45 km barat laut Kuantan. Laluan mendakinya tidak begitu sukar dan merupakan salah satu lokasi menarik untuk melihat pemandangan matahari terbit. Selalunya pendaki akan mengambil masa lebih kurang 30 hingga ke 45 minit bergantung kepada kepantasan individu tersebut. Ada yang mampu sampai kurang daripada 30 minit ke puncak, ha yang itu memang power! Laluannya sangat mudah kerana dilengkapi dengan tangga dan hanya sedikit laluan bertanah. Ada yang kata Bukit Panorama ni lebih mudah didaki dari Bukit Broga.

Kelebihan Bukit Panorama, Sungai Lembing, Kuantan:

  • Trail yang tidak panjang sesuai untuk beginners
  • Panorama indah di puncak
  • Tiada caj masuk

Kekurangan Bukit Panorama, Sungai Lembing, Kuantan:

  • Agak ramai di waktu cuti sekolah atau hujung minggu

Info Bukit Panorama, Sungai Lembing, Kuantan:

Lokasi: Kampung Kuala Kenau, 26200 Sungai Lembing, Pahang
Durasi pendakian : 30 hingga 45 minit

Gunung Ledang, Johor

Gunung Ledang, Johor
Sebut je Gunung Ledang, pasti ada yang teringat kisah lagenda Puteri Gunung Ledang kan? Taman Negara Gunung Ledang terletak di daerah Tangkak, Johor dan merupakan salah-satu Tapak Warisan Kebangsaan yang dikatakan berusia lebih kurang 150 juta tahun. Untuk mereka yang mahu mendaki pastikan anda membuat persiapan rapi dari segi stamina kerana lebih kurang 12 jam masa diambil untuk pendakian dan turun semula. Ia bukan trail yang pendek ya. Namun baki pendaki yang fit dan biasa dengan aktiviti pendakian, mungkin masa lebih pendek digunakan.

Kelebihan Gunung Ledang, Johor:

  • Terdapat lebih 16 sungai sekitar Taman Negara Gunung Ledang
  • Panorama indah di puncak
  • Terdapat beberapa lauan untuk dipilih
  • Lokasi dengan kisah lagenda
  • Terdapat lokasi mandian air terjun

Kekurangan Gunung Ledang, Johor:

  • Tidak sesuai untuk beginners
  • Terdapat caj masuk

Info Gunung Ledang, Johor:

Lokasi: Gunung Ledang Johor National Park , Batu 26, Jalan Segamat, 84020 Sagil, Ledang, Johor Darul Ta’zim
Durasi pendakian : 11-12 jam

Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah

Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah
Bukit Perahu ini berdiri pada ketinggian 300 meter di atas paras laut. Ia merupakan antara lokasi hiking terkenal dan sering menjadi tarikan di Tamparuli, Sabah. Untuk anda yang gemar mengambil gambar ketika mendaki, waktu terbaik adalah sekitar 5-6 pagi dan 4 petang untuk fotografi terbaik. Durasi pendakian adalah di antara 20 ke 45 minit hingga ke puncak bergantuk kepada tahap stamina individu. Apa yang menarik adalah, pendaki boleh melihat pemandangan indah Gunung Kinabalu dari puncak Bukit Perahu jika bernasib baik.

Kelebihan Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah:

  • Boleh melihat gunung Kinabalu
  • Lokasi hiking agak terkenal di Sabah
  • Laluan bertangga namun agak mencabar

Kekurangan Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah:

  • Tiada tempat parking
  • Agak ramai ketika waktu cuti

Info Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah:

Lokasi: Bukit Perahu, 89250 Tamparuli, Sabah
Durasi pendakian : 20-45 minit

Gunung Datuk, Negeri Sembilan

Gunung Datuk, Negeri Sembilan
Perjalanan ke Gunung Datuk, Negeri Sembilan hanyalah kira-kira satu jam setengah jika anda dari Kuala Lumpur. Laluan mendaki di gunung ini agak mencabar dan dan pendaki harus bersedia menghadapi pendakian lengkap yang dianggarkan memakan masa lebih kurang tujuh jam untuk perjalanan pergi dan balik. Ianya mencabar kerana anda akan bermula dengan trek berbatu-batu dan tidak landai.

Terdapat jurang dan cerun berbahaya di sekeliling anda dan anda perlu berhati-hati agar tidak terjatuh. Pendakian terakhir di puncak gunung juga memerlukan anda untuk naik beberapa anak tangga yang telah dipasang pada beberapa batu besar di situ. Walaupun pendakian ini bakal memberikan cabaran yang kuat juga kepada anda, tetapi apabila anda sampai di puncak, pemandangan panorama bandaraya Rembau yang cukup menarik menanti ada.

Kelebihan Gunung Datuk, Negeri Sembilan:

  • Dapat melihat pemandangan bandaraya Rembau di puncak
  • 2 puncak
  • Terdapat laluan anak tangga memudahkan pendakian

Kekurangan Gunung Datuk, Negeri Sembilan:

  • Laluan agak mencabar, tidak sesuai untuk beginners

Info Gunung Datuk, Negeri Sembilan:

Lokasi: Hutan Lipur, Gunung Datuk, 71350 Kota, Negeri Sembilan
Durasi pendakian : 7 jam

Bukit Pine Tree, Bukit Fraser, Pahang

Bukit Pine Tree, Bukit Fraser, Pahang
Lokasi ini sering dijadikan laluan latihan buat mereka yang mahu mendaki Gunung Kinabalu kerana suhunya yang agak sejuk dan laluannya bukanlah laluan yang mudah. Jarak dari lokasi mula ke puncak adalah sejauh 5.5 kilometer namun pendaki akan diuji dengan denai yang mencabar fizikal dan mental. Bukit Pine Tree ini dikatakan puncak tertinggi di Bukit Fraser dan ke 94 tertinggi di Malaysia. Walaupun laluan sukar, namun pemandangan indah melihat keseluruhan Bukit Fraser dan banjaran sekitarnya pasti berbaloi. Anda perlu memanjat tali untuk ke puncak dan ianya sungguh mencabar.

Kelebihan Bukit Pine Tree, Bukit Fraser, Pahang:

  • Lokasi pelancongan menarik selain mendaki
  • Laluan sama pergi dan balik
  • Pemandangan indah Bukit Fraser
  • Bukit ke 94 tertinggi di Malaysia

Kekurangan Bukit Pine Tree, Bukit Fraser, Pahang:

  • Laluan sungguh mencabar

Info Bukit Pine Tree, Bukit Fraser, Pahang:

Lokasi: Bukit Pine Tree, 49000 Bukit Fraser, Pahang
Durasi pendakian : 7-10 jam

Tidak kira laluan sukar mahupun mudah, apa yang penting anda membuat persiapan rapi sebelum memulakan pendakian. Pakaian yang sesuai dan peralatan rapi seperti lampu suluh, makanan tenaga, bekalan air dan ubat-ubatan amat penting.

Jika anda baru berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian, pilihlah laluan mudah dan landai terlebih dahulu. Jangan terlalu memaksa diri kerana ingat, antara tujuan utama orang mendaki adalah untuk mendekatkan diri dengan alam semulajadi dan melihat keindahan alam. Anda pasti tidak mahu terlepas pengalaman itu bukan?



Related posts