5 Pilihan SUV Terbaik Di Pasaran Malaysia 2022 Untuk Bajet Bawah RM120K

5 Pilihan SUV Terbaik Di Pasaran Malaysia 2022 Untuk Bajet Bawah RM120K
Kereta dan motosikal


Kenderaan utiliti sukan atau singkatannya dikenali sebagai SUV direka dengan gaya yang sporty dan lasak. SUV di pasaran Malaysia semakin meriah dengan pelancaran model baharu keluaran pelbagai jenama dek kerana menjadi pilihan ramai individu solo atau berkeluarga untuk memilikinya. SUV terbahagi kepada beberapa segmen bagi disesuaikan dengan golongan sasar dan gaya hidup. Kenderaan ini dibezakan daripada segi saiz dalaman,ruang tempat duduk, kapasiti enjin dan ciri teknologi, namun ia tetap menawarkan rekaan yang sporty serta tampil aktif.

Memiliki kenderaan lebih daripada lima tempat duduk pastinya menjadi kelebihan apatah lagi boleh membawa lebih ramai penumpang. Pada masa sama, SUV boleh digunakan untuk tujuan lasak seperti meredah hutan ataupun banjir kilat yang sekarang sering berlaku di merata-rata tempat. Di Malaysia pada tahun 2022 ini, minat terhadap kenderaan SUV kian meningkat dan tidak hairanlah beberapa syarikat automotif giat memperkenalkan model berkenaan sebagai pilihan sama ada buatan, China, Jepun mahupun Eropah. Antara lima pilihan SUV terbaik di pasaran Malaysia untuk bajet bawah RM120,000.00 untuk dimiliki seperti:

Perodua Ativa

Perodua Ativa
Perodua Ativa antara SUV mampu milik ditawarkan dengan tiga varian iaitu varian X, H dan AV hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan Daihatsu. Perodua Ativa kenderaan pengecas turbo pertama Perodua menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT). Pelbagai teknologi terkini diterapkan dalam model SUV kompak Perodua Ativa antaranya Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0. ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki.

ASA 3.0 pada Perodua Ativa boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam. Perodua Ativa memiliki enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention. Varian H dan AV Perodua Ativa didatangkan dengan Adaptive Driving Beam, paparan pelbagai maklumat info TFT tujuh-inci dan sistem infotainment skrin sesentuh sembilan-inci dengan voice recognition. Untuk varian tertinggi iaitu AV, ia secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Kelebihan produk

  • Harga mampu milik
  • Menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT)
  • Memiliki ASA 3.0
  • Ada enam beg udara

Kekurangan produk

  • Tiada pelaras stereng teleskopik

Spesifikasi produk

Pasaran https://www.perodua.com.my/our-models/ativa.html
Enjin 1.0L
Warna Garnet Red, Pearl Diamond White, Cobalt Blue, Granite Grey dan Glittering Silver
Harga bermula RM62,500.00

Proton X50

Proton X50
Proton X50, SUV kedua jenama Proton antara menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. Proton X50 menampilkan gaya rekaan premium dan sporty, malah antara yang termaju dalam kelasnya hasil kerjasama Proton dan Geely. Empat varian ditawarkan Proton X50 iaitu 1.5T Standard, Executive, Premium dan 1.5 TGDI Flagship. Untuk rekaan luaran, Proton X50 tampil kompak, namun diserlahkan dengan ciri-ciri premium seperti gril hadapan unik selain lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim aloi 18 inci dan ekzos Quad berkembar.
Ruang dalamannya pula lengkap dengan kemasan dua tona, kombinasi meter LCD digital, bumbung panorama, konsol tengah untuk storan dan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI). Proton X50 dilengkapi kerusi larasan elektrik untuk pemandu, penyaman udara automatik dengan corong untuk penumpang belakang serta ruang kabin dengan penapis udara N95. Proton X50 datang dengan transmisi dwi-klac (DCT) tujuh kelajuan dan mod manual serta pacuan dua roda (2WD) hadapan.
Proton X50 didatangkan juga dengan pemanduan autonomi melalui Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) 2.0, ciri Bantu Parkir Auto (APA), Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dan enam beg keselamatan SRS.Ia juga ditambah sistem keselamatan terbaik dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), kamera undur dan kamera 360 darjah.

Kelebihan produk

  • Gaya rekaan premium dan sporty
  • Memiliki rim aloi 18 inci dan ekzos Quad berkembar
  • Bumbung panorama
  • Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) 2.0

Kekurangan produk

  • Ruang but kecil

Spesifikasi produk

Pasaran https://www.proton.com/en/find-a-car/protonx50
Enjin 1.5L
Warna Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Biru Ocean, Oren Citric dan Merah Passion
Harga bermula RM79,200.00

Haval H2

Haval H2
Haval H2 menampilkan rekaan rim dan tambahan warna baharu, iaitu Haval Blue bersama pilihan warna sedia ada, Haval Red. Haval H2 mempunyai spesifikasi enjin petrol 1.5L VVT pengecas turbo yang digabungkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Haval H2 dipadankan dengan lampu halogen bersama lampu LED nyalaan siang. Kemasan Haval H2 dengan Gril dan krom ternganga luas membuatkan ia tampak lebih garang dan menarik.
Haval H2 menampilkan ciri butang tekan-mula, masukan tanpa kunci untuk memulakan perjalanan. Ini termasuk ciri penyaman udara dual zon automatik, sistem hiburan audio dan video, kerusi pemandu elektrik 5-tetapan dan bumbung suria boleh laras. Haval H2 mengetengahkan enam beg udara iaitu dua di depan, dua sisi dan dua tirai yang disepadukan bersama sensor dan kamera undur, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan penyandar kepala aktif untuk meminimumkan kecederaan spinal.

Kelebihan produk

  • Memiliki panel meter multi fungsi dan punat kawal roda stereng
  • Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan penyandar kepala aktif
  • Sensor dan kamera undur
  • Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Sunroof mempunyai saiz bukaan yang besar

Kekurangan produk

  • Penggunaan bahan api sedikit tinggi

Spesifikasi produk

Pasaran https://www.haval.my/index.php/products/haval-2
Enjin 1.5L
Warna White, Brown, Black dan Red
Harga bermula RM98,915.00

Renault Captur

Renault Captur
Renault Captur kenderaan SUV yang tampil dengan ciri rekaan crossover urban ranggi. Renault Captur, jentera berkonsepkan kompak di luar tetapi luas dan versatil pada ruang dalamannya. Ruangan dalamannya tidak terlalu besar tetapi memadai untuk memberikan keselesaan yang optimum kepada semua penumpangnya. Renault Captur direka berkonsepkan mesra penumpang dengan pelapik tempat duduk boleh dibuka supaya mudah dicuci. Malah, tempat duduk hadapan ala ‘bucket’ dan stereng dibalut dengan kemasan kulit kelabu sekali gus menonjolkan sisi sporty rekaannya. Renault Captur mempunyai ruang kabin dengan lima tempat duduk kulit, sistem infotainment bersaiz tujuh inci skrin sesentuh dan fungsi navigasi, hiburan serta Bluetooth. Renault Captur hadir dengan enjin 1.2L turbo yang menghasilkan kuasa seperti enjin 1.8L aspirasi natural. Enjin yang menghasilkan tork sebanyak 205 Nm ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac 6 kelajuan EDC (Efficient Dual Clutch).

Kelebihan produk

  • Direka berkonsepkan mesra penumpang
  • Ruang kabin dengan lima tempat duduk kulit
  • Sistem infotainment bersaiz tujuh inci skrin sesentuh
  • Enjin 1.2L turbo yang menghasilkan kuasa seperti enjin 1.8L aspirasi natural

Kekurangan produk

  • Tidak sesuai untuk pemanduan agresif

Spesifikasi produk

Pasaran https://renault.com.my/model/captur
Enjin 1.2L
Warna Flame Red, Pearl White, Ocean Blue, dan Arizona Orange Diamond Black Roof
Harga bermula RM105,289.00

Subaru XV

Subaru XV
Subaru XV dengan gaya aktif, dilengkapi teknologi Bantuan Pemandu Termaju EyeSight termasuk beberapa kemasan lain untuk tampil lebih bergaya. Kelebihan model Subaru XV, ia dijana enjin Boxer 2.0 liter CVT dengan pacuan semua roda simetri (AWD) yang menjana kuasa 156PS pada 6,000 rpm dan tork 196Nm pada 4,000 rpm. Subaru XV juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti sistem brek anti-kunci (ABS) empat saluran, beg udara SRS dan Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC). Ruang dalaman Subaru XV selesa dan praktikal dengan kapasiti kargo 345 liter membolehkan ciri fleksibel pada kerusi belakang dengan nisbah 60:40. Untuk ruang kabin, tempat duduk pemandu kini dilengkapi larasan elektrik serta lapan ketetapan. Bagi rekaan luarannya, selain rekaan bampar dan gril antara yang terbaharu ialah rim aloi 17 inci.

Kelebihan produk

  • Kualiti pemanduan sangat sedap
  • Kawalan cengkaman Symmetrical AWD memberikan lebih keyakinan
  • Spesifikasi tren kuasa yang sangat lancar
  • Dilengkapi ciri keselamatan terbaik (ABS) empat saluran

Kekurangan produk

  • Ruang but belakang kecil

Spesifikasi produk

Pasaran https://www.subaru.asia/xv/?reg=my&lang=en
Enjin 2.0L
Warna Crystal Black Silica, Magnetite Grey Metallic, Ice Silver Metallic, Dark Blue Pearl, Pure White dan Cool Grey Khaki.
Harga bermula RM117,788.00

Masih belum dapat buat keputusan kenderaan baru jenis apa menjadi pilihan hati? Kebiasaannya sebelum membuat sebarang keputusan untuk membeli kenderaan, pelbagai perkara harus dititikberatkan seperti keluasan, harga atau keselesaan pemanduan. Bagi mereka yang berkeluarga, keluasan, praktikal dan keselesaan sering menjadi antara faktor utama sebelum membeli sesebuah kenderaan. SUV merupakan jenis kereta yang memfokuskan lebih kepada kuasa dan mampu dipandu dalam persekitaran bentuk rupa bumi lebih kasar. Antara kelebihan SUV adalah ia boleh dipandu di atas permukaan dan keadaan yang kasar. SUV umumnya bersaiz lebih besar daripada kenderaan biasa dengan reka bentuk lebih gagah dan sporty. Bagi individu yang gemarkan keseronokan dan cabaran dalam pemanduan, SUV adalah pilihan tepat untuk anda.

Umum mengetahui jualan kenderaan di Malaysia sepanjang tahun 2019-2021 ketika musim pendemik Covid-19 sedikit perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun dikatakan ada segmen semakin mendapat tempat pada hati pembeli kenderaan iaitu SUV. Peningkatan permintaan kenderaan jenis ini membuatkan pengeluar pelbagai jenama kenderaan mula menawarkan SUV sebagai antara model dalam barisan jualan mereka. Cubalah ke showroom terdekat dan pandu uji SUV kegemaran kalian!



Related posts