Nikmati Sajian Tradisi & Asli Masakan Peranakan Baba Nyonya Di Sekitar Pulau Pinang
Pulau Pinang didasari kepelbagaian daya tarikan yang menggabungkan keunikan sejarah, bangunan unik, masyarakat, sehingga alam semula jadi. Di sebalik terkenal dengan pembangunan industri pelancongannya, percampuran etnik, warisan dan sajian makanan tradisi yang masih terpelihara turut menjadi tarikan penting bagi Pulau Pinang yang sentiasa menjadi perhatian pelancong asing dan tempatan untuk melawatinya dari masa ke semasa. Pulau Pinang akan merayakan ulang tahun Georgetown diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Antara kaum percampuran etnik yang masih terdapat di Pulau Pinang adalah masyarakat Peranakan Baba dan Nyonya. Keunikan masyarakat peranakan di Pulau Pinang masih mengamalkan konsep campuran budaya Cina dan Melayu serta budaya Inggeris yang diamalkan nenek-moyang mereka sejak berhijrah ke Tanah Melayu. Dalam aspek makanan pula, kaum ini menjadikan masakan Melayu yang pedas, masam dan manis seperti hidangan asam pedas udang dan kari ikan serta ulam-ulaman sebagai makanan harian. Ingin menikmati sajian tradisi dan asli Peranakan Baba dan Nyonya? Ini lima premis yang harus dikunjungi di Pulau Pinang. Untuk Muslim, semak terlebih dahulu menu sajian sebelum membuat pesanan kerana ada setengah-setengah premis menawarkan hidangan yang tidak Halal dan sesuai buat kalian.
Nikmati 5 Sajian Tradisi & Asli Masakan Peranakan Baba Nyonya Di Sekitar Pulau Pinang
Ivy’s Nyonya Cuisine
Ivy’s Nyonya Cuisine antara restoran yang menawarkan sajian Peranakan Nyonya yang asli dan popular di George Town. Ivy’s Nyonya Cuisine sering menjadi tumpuan ketika waktu makan tengah hari dan juga malam. Ivy’s Nyonya Cuisine terkenal dengan menu Ngo Wa atau lebih dikenali dengan nama Asam Pedas Ikan yang sangat istimewa. Rasa masam pedas dan gabungan ikan segar sangat ‘kena’ dan menyelerakan. Menu lain yang tidak kurang popular dan mendapat permintaan di Ivy’s Nyonya Cuisine seperti Kari Ayam Kapitan.
Menu ini tidak menggunakan serbuk kari, tetapi menggunakan bahan-bahan asli seperti bawang merah, serai, lengkuas dan halia. Disebabkan itu, rasanya dikatakan lebih enak, kuahnya pekat dan ayamnya cukup lembut. Sajian asli Peranakan lain yang wajib cuba seperti Rendang Daging, Joo Hoo (Sayuran), Udang Masak Asam, Sambal Petai Hae Bee, Sambal Belacan, Bee Koh Moi (Bubur Pulut Hitam). Tiada masa untuk singgah? Jika berada disekitar George Town anda boleh memilih untuk khidmat penghantaran makanan terus ke depan pintu.
Kelebihan produk
- Restoran Peranakan Nyonya yang asli dan popular di George Town
- Terkenal dengan menu Asam Pedas Ikan
- Sajian Kari Ayam Kapitan tidak menggunakan sebarang serbuk kari
- Ada khidmat bungkus dan penghantaran makanan
Kekurangan produk
- Hari Selasa buka untuk makan malam sahaja dari jam 6 petang hingga 9 malam
Spesifikasi produk
Hubungi | https://www.facebook.com/ivysnyonyacuisine https://ivys-nyonya-cuisine.business.site/ |
---|---|
Alamat | 58, Jalan Chow Thye, George Town, 10050 George Town, Pulau Pinang |
Waktu Operasi | Buka setiap Selasa hingga Ahad dari jam 12.00 tengah hari hingga 3 petang dan jam 6 petang hingga 9 malam. Isnin tutup |
Harga | Tidak dinyatakan |
Nyonya Willow Restaurant
Sudah beroperasi sejak sekian lama, hidangan Peranakan (Baba Nyonya) di Nyonya Willow Restaurant pasti membawa kejutan menggembirakan kepada deria rasa pelanggan. Tidak seperti masakan lain, masakan Baba Nyonya Pulau Pinang mempunyai keistimewaan sendiri apabila ramuan asli mereka diperkaya dengan rasa rempah tempatan halus, sekali gus menepati cita rasa seperti Gulai Kiam Hu Kut dan nasi ulam. Antara keistimewaan Nyonya Willow Restaurant adalah semua menu Baba Nyonya yang kebiasaannya hanya terdapat di majlis atau perayaan tertentu boleh didapati di sini.
Pelanggan yang makan di Nyonya Willow Restaurant meninggalkan komen di laman sosial mereka mengakui makanan itu mengingatkan mereka berkaitan makanan dari zaman kanak-kanak atau kampung halaman. Bagi pelancong tempatan dan asing, ini adalah peluang untuk menikmati makanan Malaysia yang berbeza dan unik. Walau bagaimana untuk masyarakat Muslim, Nyonya Willow Restaurant tidak sesuai untuk kalian kerana berstatus tidak Halal dan ada menghidangkan daging khinzir.
Kelebihan produk
- Menggunakan ramuan asli
- Diperkaya rempah ratus tempatan yang halus
- Rasa seperti sajian masa lampau
- Ruang makan luas
Kekurangan produk
- Tidak Halal untuk Muslim
Spesifikasi produk
Hubungi | https://www.facebook.com/nyonyawillow/ |
---|---|
Alamat | Arena Curve, 72-1-3, Jalan Mahsuri, Bandar Sunway Tunas, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang |
Waktu Operasi | Buka setiap Selasa hingga Ahad dari jam 11.30 pagi hingga 2 petang dan 5.30 petang hingga 9 malam. Tutup Isnin |
Harga | Tidak dinyatakan |
Little Kitchen @ Nyonya
Menjengah ke premis Little Kitchen @ Nyonya sememangnya sangat unik. Mana tidaknya, bangunan serta reka bentuknya menjadi tumpuan kerana begitu klasik telah dibina antara tahun 1910 hingga 1930. Rumah agam Little Kitchen @ Nyonya dihiasi jubin berwarna-warni, bahagian dalam kayu berukir dicat emas dan dekorasi Baba Nyonya sebenar. Jika ingin menjamu selera di Little Kitchen @ Nyonya, pelanggan dikehendaki untuk membuat tempahan lebih awal terlebih dahulu. Ini kerana, ruang makan adalah sangat terhad serta tukang masak di Little Kitchen @ Nyonya hanya ada dua orang wanita yang memang berketurunan Peranakan Baba Nyonya Pulau Pinang yang asal.
Little Kitchen @ Nyonya menyediakan hidangan makanan peranakan gabungan budaya Cina, Melayu, Thai dan British. Untuk setiap hidangan yang ditawarkan pula berupa set bermula dengan harga serendah RM 88 sehingga RM 228 sesuai untuk lima orang makan. Antara hidangan wajib cuba di Little Kitchen @ Nyonya seperti Kuih Tapioka, Pulut Tai Tai, Nasi Ulam, Udang Masak Asam, Ikan Masam Manis, Sambal Belacan, Nyonya Chap Chye, Sup Kobis Bebola Ikan dan Pulut Hitam. Untuk masyarakat Muslim, Little Kitchen @ Nyonya tidak sesuai untuk kalian kerana berstatus tidak Halal dan ada menghidangkan menu daging khinzir.
Kelebihan produk
- Rumah Agam yang cantik
- Sesuai untuk berOOTD
- Tukang masak berketurunan Peranakan Baba Nyonya
- Menyediakan hidangan peranakan gabungan budaya Cina, Melayu, Thai dan British
Kekurangan produk
- Tidak Halal untuk Muslim
- Ruang terhad dan kecil
Spesifikasi produk
Hubungi | https://www.instagram.com/littlekitchennyonya/ |
---|---|
Alamat | 179, Lebuh Noordin, George Town, 10300 George Town, Pulau Pinang |
Waktu Operasi | Buka setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 6.30 petang hingga 9 malam. Ahad tutup |
Harga | Bermula dengan set berharga RM88.00 untuk 5 orang makan |
Winn’s Cafe
Lokasi Winn’s Café sangat mudah untuk dijejaki dengan binaan agam bercat putih bersih dan papan tanda hitam jelas kelihatan dari jauh. Winn’s Café menawarkan hidangan ala carte atau pilihan set hidangan untuk pelanggan yang datang dalam kumpulan atau lebih dua orang. Antara menu popular dan digemari pelanggan Winn’s Café adalah Kari Ayam Kapitan dihasilkan daripada kunyit segar, lengkuas, bawang merah, bawang putih, serai, cili, jus asam jawa dan santan. Ia dihidangkan dihiasi dengan daun limau purut yang dihiris halus.
Sajian lain seperti Ikan kukus Nyonya, Otak-Otak, Lor Bak dan Jeruk Sayuran. Winn’s Café turut menyajikan Nasi Ulam istimewa yang menjadi kegemaran kaum Peranakan Baba Nyonya. Pencuci mulut semestinya adalah citarasa asli klasik Nyonya iaitu Pulut Hitam Bersantan bersama sagu dan gula Melaka. Ia turut digabungkan bersama buah longan kering. Walau bagaimana untuk masyarakat Muslim, Winn’s Cafe tidak sesuai untuk kalian kerana berstatus tidak Halal dan ada menghidangkan daging khinzir.
Kelebihan produk
- Harga berpatutan
- Berkonsep kolenal, klasik dan moden
- Ruang tempat makan luas dan selesa
- Kari Ayam Kapitan dan Ikan kukus Nyonya menu pilihan pelanggan
Kekurangan produk
- Kawasan parkir terhad
- Tidak Halal untuk Muslim
Spesifikasi produk
Hubungi | https://www.facebook.com/Winns-Cafe-1674469709543830/ |
---|---|
Alamat | 2, Jalan Irrawaddi, 10050 George Town, Pulau Pinang |
Waktu Operasi | Buka setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 11pagi hingga 3 petang dan 6 petang hingga 10 malam. Ahad tutup. |
Harga | Bermula serendah RM9.90 |
Kebaya Dining Room
Pernah menginap di Seven Terraces? Seven Terraces merupakan sebuah butik hotel berkonsep Peranakan Baba Nyonya yang begitu indah dan klasik. Terletak di dalam kawasan butik hotel ini ialah sebuah ruang makan atau restoran ekslusif yang diberi nama Kebaya Dining Room. Sama konsep dengan hotel penginapan ini, Kebaya Dining Room menawarkan sajian citarasa Nyonya yang mewah.
Ruang dalaman Kebaya Dining Room seakan-akan lokasi penggambaran filem antarabangsa Crazy Rich Asians. Ia sangat indah dan elegan dengan tarikan piano yang memenuhi ruang bersebelahan bar minuman. Kebaya Dining Room hanya beroperasi untuk makan malam dengan dua tempat duduk. Chef di Kebaya Dining Room mencipta menu masakan klasik Indo-China dan Nyonya menggunakan kaedah memasak tradisional Malaysia, Vietnam, Thai dan gaya masakan tradisional Perancis. Ia menyampaikan kelainan baru dalam hidangan Peranakan Nyonya. Hasil air tangan chef ini juga adalah bantuan ibu saudaranya yang berketurunan Peranakan Nyonya Asli.
Kelebihan produk
- Restoran ekslusif
- Dekorasi dalaman menarik dan mewah
- Menu masakan klasik & inovasi Peranakan Nyonya
Kekurangan produk
- Harga tempahan mahal
- Buka untuk makan malam sahaja
Spesifikasi produk
Hubungi | https://kebaya.com.my/ https://www.instagram.com/kebaya_dining_room/ |
---|---|
Alamat | 14A, Stewart Ln, Georgetown, 10200 George Town, Penang |
Waktu Operasi | Buka setiap hari dari jam 6 petang hingga 10 malam. |
Harga | Harga bermula set serendah RM128.00 |
Malaysia adalah bumi bertuah yang memiliki keindahan, kepelbagaian budaya dan warisan yang tidak berkesudahan. Antara tapak-tapak warisan dunia yang unggul di Malaysia adalah seperti di Pulau Pinang. Apabila seseorang itu melangkah masuk ke sesuatu kawasan warisan dunia, pastinya dapat menyelami keindahan, keunikan serta keajaiban tapak tersebut yang sememangnya menggamit tumpuan lebih-lebih lagi sajian makanannya. Ambil kesempatan untuk mencuba pelbagai menu tradisi masyarakat pelbagai kaum di sini terutamanya kaum Peranakan Baba Nyonya yang asli.
Pergi mana-mana sahaja restoran atau kedai makan berkonsep Baba Nyonya di Malaysia, hanya ada dua waktu makan sahaja diperuntukan untuk menjamu selera. Jangan sesekali datang untuk walk in tanpa melihat waktu operasi sebenarnya. Selang waktu rehat yang dinyatakan selalunya premis akan ditutup sepenuhnya tanpa menerima sebarang pelanggan.