5 Permainan Dan Tarikan Yang Menarik Wajib Anda Cuba Di Sunway Lagoon

5 Permainan Dan Tarikan Yang Menarik Wajib Anda Cuba Di Sunway Lagoon
Aktiviti


Sebenarnya kan, bercuti ni mana ada musim! Cuti sekolah atau tidak, kalau rasa nak bercuti tu, pergi sahajalah kan? Hiks, kalaulah syarikat yang kita kerja itu milik sendiri. Selain daripada bercuti ke luar negara, ada juga yang memilih untuk bercuti di tempat-tempat peranginan terkemuka di dalam negara, kebanyakannya merangkumi negeri-negeri dan pulau-pulau yang mempunyai tarikannya tersendiri. Untuk merasai pengalaman, keseronokan dan keterujaan yang berbeza, apa kata jika tahun ini anda lari sedikit daripada kebiasaan dengan membawa anak-anak anda bercuti dan bermain di Taman Tema.

Sunway Lagoon menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk anda dan anak-anak. Terdapat pelbagai keseronokan melalui aktiviti-aktiviti menarik yang pastinya memberikan kenangan manis buat anda sekeluarga. Jadi, sebelum anda bertolak ke sana. Jom kita lihat 5 jenis permainan dan tarikan yang wajib anda cuba di Sunway Lagoon ketika ini.

Water Park

Water Park
Sememangnya water park adalah tarikan utama bagi Sunway Lagoon. Namun tidak ramai yang tahu di dalam water park ini juga terbahagi kepada beberapa jenis permainan dan tarikan. Antara tarikan menarik yang perlu anda cuba adalah Waterplexx 5D. Alami sebuah evolusi permainan taman tema air versi 5D yang menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang pastinya tidak akan anda lupakan.

Melalui pandangan cermin mata 3D dan kapsul yang bergerak, anda akan merasa seakan-akan dibawa menyelusuri ke sebuah perjalanan yang mencabar dengan kesan efek khas yang menyerupai perjalanan sebenar seperti angin, asap, semburan air, air terjun, lampu dan juga laser. Bersiap sedia untuk basah setelah selesai permainan ini.

Kalau anda rindu nak mendengar bunyi-bunyian dan deruman ombak, di sini juga terdapat surf beach dimana ia diiktiraf sebagai sebuah surf beach paling besar di dunia iaitu seluas 13,000 meter persegi.

Surf beach buatan manusia ini adalah sebuah tarikan utama yang sentiasa dipenuhi pengunjung. Ini kerana anda boleh melakukan pelbagai aktiviti selain daripada berehat seperti di tepi pantai melihat ombak buatan manusia. Buat anda yang ingin aktiviti yang lebih mencabar, anda boleh mencuba aktiviti surfing, bodyboarding dan bola tampar pantai. Buat surfer yang ingin menunjukkan skill anda, anda juga boleh mencuba simulasi surfing melalui Surf Simulator ataupun dikenali sebagai Flowrider.

Info Water Park

Permainan:Vuvuzela (World’s Largest Vortex Ride), Little Zimbabwe, Waterplexx 5D dan Surf Beach
Sesuai untuk dewasa dan remaja

X Park

X Park
Buat pencari adrenalin, peminat aktiviti-aktiviti mencabar dan sukan-sukan ekstrem, X Park ini dibina khas untuk anda. Bersedialah untuk sebuah aktiviti mencabar yang menguji keberanian anda terhadap ketinggian melalui aktiviti Flying Fox yang diiktiraf sebagai terpanjang di Malaysia. Apa yang menarik, Flying Fox ini akan melintasi surf beach dan pastinya anda akan bangga dilihat oleh ratusan dan ribuan pengunjung yang akan memuji keberanian anda.

Masih ingin menguji tahap keberanian anda terhadap ketinggian melampau? Jangan risau, di sini juga terdapat aktiviti bungee jumping. Yang lebih menariknya, ia adalah bungee jumping pertama yang ada di Malaysia dan masih kekal beroperasi sehingga hari ini. Tasik dan juga surf beach yang berada bersebelahan dan dibawah platfom bungee jumping ini juga turut menjadi pemacu adrenalin buat mereka yang ingin mencuba aktiviti ini.

Terjunan bebas dengan menjunamkan kepala kebawah dahulu pastinya akan memberikan sebuah mimpi indah dan kepuasan bagi mereka yang mencubanya. Anda sukakan kelajuan dan persaingan? Serlahkan bakat memandu anda dengan mencuba aktiviti Go-Karting. Puaskan jiwa kelajuan anda melalui perlumbaan bersama ahli keluarga atau rakan-rakan anda menyelusuri trek yang berliku-liku mengelilingi kawasan Sunway Lagoon.

Info X Park

Permainan: Bungy Jump, G-Force X, Go Kart, Paintball Target Shooting, Kayaking, Bungy Trampoline
Sesuai untuk dewasa dan remaja

Nickelodeon Lost Lagoon

Nickelodeon Lost Lagoon
Temui watak-watak kartun kegemaran khususnya buat kanak-kanak di Nickelodeon Lost Lagoon yang pertama di Asia ini. Dari pintu gerbangnya, anda akan dapat merasai kesegaran dan keindahan mata melihat nuansa kehijauan daripada pokok-pokok sekelilingnya yang berkeluasan 10 ekar. Selain itu, rekabentuk senibina permainan-permainan di kawasan ini dibina berinspirasikan daripada sebuah ketamadunan yang hilang.

Bersedialah untuk dibasahkan dan anda wajib teroka kesemua permainan-permainan laman fantasi ini kerana di sini terdapat 12 permainan dan tarikan yang menggabungkan permainan yang menguji adrenalin ataupun yang mesra keluarga serta kanak-kanak. Spongebob Splash Adventure adalah sebuah tarikan utama di kawasan Nickelodeon Lost Lagoon ini.

Sebagai sebuah karakter Nickelodeon yang cukup dikenali ramai, anda akan merasai pengalaman disembur dengan geyser, meriam air, air terjun, papan gelongsor serta curahan air yang sangat kuat daripada watak Spongebob dan juga rakan-rakan dari Bikini Bottom. Untuk mereka yang lebih dewasa, Monsoon 360 pasti akan memberikan sebuah pengalaman baru yang bakal menakutkan serta menyeronokkan pada waktu yang sama.

Anda hanya perlu bersandar di dalam kapsul, pandang ke depan, berpeluk tubuh dan tunggu kiraan dengan hati yang berdebar. Apabila kiraan selesai, lantai kapsul akan terbuka dan anda akan merasai pengalaman jatuhan bebas dan meluncur di dalam gelongsor tertutup dengan kelajuan dianggarkan 60 Km sejam dibawah 2 saat. Anda berani?

Info Nickelodeon Lost Lagoon

Permainan: Monsoon 360, Jungle Fury, Kubarango, Splish Splash, Primeval, Hippo Valley, Wonder Steps, Explorer’s Campsite, Explorers’ Trail
Sesuai untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak

Sunway Lagoon Scream Park

Sunway Lagoon Scream Park
Selain daripada menguji adrenalin anda melalui aktiviti-aktiviti ekstrem, di Sunway Lagoon juga terdapat aktiviti yang menguji keberanian dan nekad anda menerusi pengalaman-pengalaman seram. Di sini, anda hanya perlu takut dan ditakutkan. Rasai pengalaman ditakutkan dengan watak-watak hantu yang pelbagai melalui laluan kapsul yang dihiasi dengan nuansa yang seram mengikut tema-tema hantu tersebut.

Kesemua watak-watak hantu ini sentiasa bergerak dan tidak statik seperti patung menjadikan suasana di scream park ini lebih autentik. Pastinya anda akan terdengar jeritan-jeritan ketakutan diselangi dengan jeritan-jeritan seram daripada hantu-hantu yang cuba menakutkan. Dinasihatkan, kepada mereka yang mempunyai masalah jantung atau serangan panik yang kritikal, untuk tidak masuk ke dalam Scream Park ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menjelang Halloween iaitu bulan Oktober setiap tahun, juga akan dilancarkan Night of Fright: Festival of Fear iaitu sebuah festival seram yang menampilkan banyak hantu-hantu dan dibuat secara besar-besaran. Selain itu, terdapat juga sebuah tarikan terkini yang baru sahaja dilancarkan iaitu Sharknado Alive. Sharknado Alive dengan kerjasama Lynton V Harris adalah sebuah studio tour yang menampilkan senario dan juga babak-babak penting dan diingati daripada siri-siri filem Sharknado. Buat anda yang ada fobia dengan Ikan Jerung, ini lah masanya untuk mengatasi dan mencabar rasa takut anda.

Info Sunway Lagoon Scream Park

Permainan: Scream Park dan Sharknado Alive
Sesuai untuk dewasa dan remaja, tetapi mereka yang mempunyai masalah jantung tidak dibenarkan.

Sunway Lagoon Wildlife Park

Sunway Lagoon Wildlife Park
Tahukah anda? Terdapat 150 spesis haiwan daripada seluruh dunia dapat dilihat di Sunway Lagoon Wildlife Park ini. Rasai sendiri pengalaman melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat dan lebih interaktif di zoo ini. Anda juga berpeluang untuk dihiburkan dengan haiwan-haiwan ini melalui persembahan-persembahan mereka di Wildlife Theatre. Buat anda yang nak lebih dekat lagi dengan haiwan-haiwan ini, anda juga boleh memberi makanan secara terus kepada mereka di Pet Village.

Untuk kanak-kanak, banyak aktiviti pembelajaran berkenaan haiwan dapat dipelajari disini serta aktiviti menarik yang melibatkan seluruh keluarga. Apa yang menarik, tarikan terbaru di Sunway Lagoon Wildlife Park ini adalah kemunculan dua ekor Harimau Putih bermata biru yang dinamakan Samson dan Asha. Anda boleh melihat kedua-dua harimau eksotik ini melalui cermin kaca yang menjadi dinding di penempatan mereka.

Untuk haiwan-haiwan eksotik yang lain, anda boleh teroka habitat mereka di kawasan-kawasan yang telah disediakan seperti new snake area, New World Monkey, Pet Village, Jungle Trail, White Lion Kingdom, Tree Top Terrace, Bird Savannah, Tiger Land serta Rimba and Village.

Info Sunway Lagoon Wildlife Park

Tarikan: River Terrapin Conservation,Enchanting Exhibits, Wild Encounters
Sesuai untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak

Untuk sekali bayaran, anda boleh memasuki kesemua tempat-tempat diatas kecuali beberapa aktiviti seperti bungee jumping,flying fox, G-Force X, Go-Kart & Fun Fair yang perlu dibayar secara berasingan.

Harga tiket bagi warganegara Malaysia untuk kategori walk-in adalah RM150 untuk dewasa (13 tahun keatas), RM125 untuk kanak-kanak ( 12 tahun kebawah) manakala untuk warga emas juga sama iaitu RM125 (60 tahun keatas). Agak berpatutan harganya memandangkan anda mendapat akses kepada hampir keseluruhan aktiviti, permainan, tarikan dan persembahan yang disediakan di sana.



Related posts