Jadikan Momen Hari Ibu Anda Lebih Bermakna Di 5 Restoran Pilihan Terbaik Sekitar KL dan PJ Ini

Jadikan Momen Hari Ibu Anda Lebih Bermakna Di 5 Restoran Pilihan Terbaik Sekitar KL dan PJ Ini
Gaya hidup


Hari ibu ialah hari untuk menyambut dan menghargai pengorbanan seorang figura yang digelar ibu, mama, emak, umi, mummy dan pelbagai gelaran-gelaran lain. Sambutan hari ibu pada tahun ini jatuh pada 14 Mei. Memandangkan ianya jatuh pada hari cuti, inilah masanya untuk anda sebagai seorang anak menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada mereka dengan merancang sesuatu yang istimewa. Contohnya, membawa mereka makan di restoran-restoran yang tidak pernah dikunjungi. Lebih menarik lagi jika sambutan hari ibu turut boleh dilakukan di tempat yang sama. Pasti lebih meriah kan?

Sebenarnya banyak je restoran menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya untuk anda abadikan kenangan bersama ibu anda yang tersayang. Sesetengah restoran ini menyajikan pelbagai pilihan makanan, konsep, suasana serta tema yang menarik. Yang mana tengah mencari tu, jom lihat senarai 5 restoran-restoran di sekitar KL dan PJ untuk anda membuat tempahan makan tengahari atau malam sempena sambutan Hari Ibu nanti.

Mencari tempat lepak baru? Sila lihat senarai kafe di sekitar Klang Valley yang kami cadangkan.

Aburii, TTDI

Aburii, TTDI
Apa kata untuk tahun ini, anda rancang sesuatu yang berlainan untuk sambutan hari ibu anda. Kalau sebelum ini anda meraikannya di restoran makanan tempatan atau barat, kali ini cuba anda raikannya di restoran Aburii yang terletak di TTDI ini. Luaran restoran ini yang diwarnakan hitam sudah cukup menarik perhatian anda yang berkunjung ke sana buat pertama kali. Restoran dua tingkat ini menawarkan ketiga-tiga makanan Jepun dalam satu tempat seperti Wagyu Yakiniku, Sushi dan Omakase. Semestinya nuansa pada restoran ini berkonsepkan jepun dengan pemilihan kerusi, warna dinding, hiasan-hiasan dinding, tempat memanggang daging di tengah-tengah meja dan serombong untuk mengeluarkan asap. Susunan-susunan kerusi dan tempat makan di restoran ini juga mengikut konsep restoran jepun iaitu minimalis tetapi pada masa yang sama nampak mewah.

Anda suka daging Wagyu? Di restoran ini anda boleh menikmati kenikmatan daging Wagyu yang segar dan berjus, lebih menarik anda boleh memasaknya sendiri di tengah-tengah meja anda yang tersedia dengan tempat memanggang. Ibu anda seorang peminat Sushi? Pasti beliau akan tersenyum lebar kerana di restoran ini anda boleh memesan Sushi dengan konsep bar, dimana anda dapat melihat sendiri proses pembuatan Sushi yang dibuat segar oleh chef yang sangat berpengalaman. Perlukan kelainan untuk sambutan hari ibu tahun ini? Buat tempahan segera di Aburii TTDI!

Kelebihan Aburii, TTDI:

  • Berkonsepkan Jepun
  • Menawarkan tiga makanan Jepun dalam satu tempat
  • Susunan kedai yang minimalis tetapi mewah
  • Sushi yang dibuat segar mengikut pesanan
  • Tempat memanggang daging Wagyu di meja

Kekurangan Aburii, TTDI:

  • Harga yang mahal
  • Parking yang terhad

Info Aburii, TTDI:

Nama Restoran: Aburii TTDI
Lokasi: No 5, Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (6 Petang – 11 Malam), Sabtu (12 Tengahari – 2.30 Petang, 6 Petang – 11 Malam), Ahad (12 Tengahari – 2.30 Petang, 6 Petang – 11 Malam).
Website/social media: Facebook; Instagram

Bangkok Wasabe & So Thai, MyTOWN

Bangkok Wasabe & So Thai, MyTOWN

Gabungan makanan dari dua negara di dalam satu restoran. Restoran ini adalah sebuah rangkaian restoran yang menawarkan makanan Thai moden dan Jepun. Kalau nak cuba keenakan makanan Thai moden dan Jepun pada satu masa yang sama, apa kata anda bawa ibu anda ke Bangkok Wasabe & So Thai yang terletak di MyTOWN KL ini. Walaupun terletak di dalam pusat membeli belah, restoran ini mempunyai keluasan yang sangat luas dan sesuai untuk anda membuat sambutan hari ibu. Apabila anda melangkahkan kaki ke dalam restoran ini, anda dapat merasakan nuansa berbeza dengan pemilihan perabot yang minimalis tetapi tidak kurang mewahnya, digandingkan bersama pemilihan warna dinding yang meredupkan mata, serta dekorasi yang sangat menenangkan.

Lebih menarik lagi, terdapat juga ruangan rehat yang mempunyai sebuah meja snooker dan sebuah pentas kecil yang digunakan untuk membuat persembahan live band. Bolehlah anda tujukan lagu kegemaran ibu anda nanti. Dari segi pemilihan makanan, restoran ini menawarkan makanan-makanan terbaik daripada Thailand seperti tom yam, sup, kari hijau Thai, siakap stim, miang kham, juga makanan-makanan yang dipanggang seperti ayam bakar Thai. Untuk makanan jepun pula, restoran ini menawarkan menu-menu seperti karaage, takoyaki, smoke salmon, chicken tsukune dan pelbagai lagi. Pastinya, pilihan makanan yang pelbagai ini akan memuaskan hati ibu anda.

Kelebihan Bangkok Wasabe & So Thai, MyTOWN:

  • Berkonsepkan Jepun dan Thai moden
  • Menawarkan makanan Jepun dan Thai moden didalam satu restoran
  • Susunan kedai yang minimalis tetapi mewah
  • Mempunyai ruangan rehat; meja snooker dan pentas kecil
  • Harga yang berpatutan

Kekurangan Bangkok Wasabe & So Thai, MyTOWN:

  • Terletak di dalam mall, kesukaran dari segi akses.

Info Bangkok Wasabe & So Thai, MyTOWN:

Nama Restoran: Bangkok Wasabe & So Thai
Lokasi: Ground Floor, G015B, East Entrance No, 6, Jalan Cochrane, Maluri, 55100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10 Pagi – 10 Malam)
Website/social media: Facebook

Donstop, Imazium, Damansara Utama

Donstop, Imazium, Damansara Utama
Terletak di Imazium, sebuah bangunan korporat di TTDI, Donstop nampak seperti sebuah restoran terpencil yang membawa kembali suasana restoran-restoran di US pada tahun 90an. Menonjolkan elemen American Style Vintage dan pop retro, gabungan warna vintage red dan dan turquoise menampakkan lagi elemen tersebut lebih-lebih lagi dengan tambahan poster-poster serta papan selaju yang digantungkan pada dinding. Susunan perabut seperti kerusi dan meja pada restoran ini juga diinspirasikan daripada US. Selain daripada kerusi dan meja biasa, ada juga meja bar dan kerusi stool tinggi buat anda yang datang keseorangan atau pun yang ingin mencari kelainan.

Pasti menarik jika anda bawa ibu anda makan-makan disini sempena hari ibu nanti. Tetapi, anda bakal terkejut dengan keunikan “plot-twist” pada restoran ini. Tidak menawarkan burger, fries atau makanan-makanan barat seperti di restoran-restoran US, restoran ini sebaliknya menawarkan menu jepun iaitu Donburi yang dihidangkan di dalam mangkuk. Menarik juga konsep begini kan? Antara menu yang ditawarkan adalah Grilled Teriyaki Chicken Don, Unagi Don with Tobiko, Scrambled Egg with Tobiko dan jika anda adalah penggemar daging wagyu, juga terdapat menu Japanese A5 Wagyu Don untuk anda. Untuk suasana unik dengan harga makanan yang ditawarkan, ianya sangat-sangat berbaloi untuk anda bawa ibu anda makan disini.

Kelebihan Donstop, Imazium, Damansara Utama:

  • Berkonsepkan American Style Vintage
  • Menawarkan makanan Jepun iaitu Donburi di dalam mangkuk
  • Susunan kedai yang diinspirasikan dari restoran-restoran di US.
  • Lebih privasi.
  • Bungkusan yang sangat sesuai untuk dimakan dimana-mana sahaja
  • Harga berpatutan

Kekurangan Donstop, Imazium, Damansara Utama:

  • Terletak di dalam bangunan korporat, agak terpencil dan sukar untuk diakses.

Info Donstop, Imazium, Damansara Utama:

Nama Restoran: Donstop
Lokasi: G-04, Ground Floor, Imazium, 8, Jalan SS21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (11.30 Pagi – 11 Malam)
Website/social media: Facebook; Instagram

Mingle Cafe, KL Chinatown

Mingle Cafe, KL Chinatown
Tersenarai sebagai salah sebuah kafe yang menarik di KL Chinatown. Mingle Cafe adalah sebuah kafe yang sangat unik. Melihat kepada pintu masuknya yang “instagrammable”, pasti anda akan keluar daripada kafe ini dengan gambar-gambar yang menarik untuk dinaik turun ke akaun sosial media anda. Ditambah pula dengan menu makanan dan minumannya yang menarik, pastinya kafe ini adalah tempat terbaik untuk anda luangkan masa bersama ibu anda bagi meraikan hari ibu. Berkonsepkan retro dengan hiasan kayu-kayuan, kafe ini didekorasi dengan perabot-perabot klasik dan lama, serta batu-batuan atau bata-bata asal yang berada di dinding bangunan tersebut yang terlihat sangat usang jika dilihat dari luar.

Ia adalah sebuah keunikan kepada pengunjung yang sukakan kelainan dan mengimbas kembali memori mereka dengan suasana kedai kopi sekitar tahun 80-90 an. Sebagai sebuah kafe, menu-menu yang ditawarkan kepada pelanggan merangkumi kopi-kopi artisan, kek, pastri, makanan-makanan barat dan tidak dilupakan juga makanan-makanan tempatan seperti nasi kerabu, nasi ulam, nasi goreng ulam dan pelbagai lagi. Juga terdapat pizza dan spageti yang telah dicampurkan dengan selera tempatan seperti pizza sambal petai sotong. Dengan suasana menarik dan pilihan makanan yang pelbagai, pasti sambutan hari ibu anda pasti akan menarik jika anda bawa mereka makan disini.

Kelebihan Mingle Cafe, KL Chinatown:

  • Tersenarai sebagai salah sebuah kafe yang menarik di KL Chinatown
  • Instagrammable
  • Menu yang pelbagai
  • Konsep retro dengan hiasan serta dekorasi klasik
  • Campuran makanan barat dan tempatan yang unik

Kekurangan Mingle Cafe, KL Chinatown:

  • Tempat letak kereta terhad pada hujung minggu dan bayarannya agak mahal.

Info Mingle Cafe, KL Chinatown:

Nama Restoran: Mingle Cafe
Lokasi: 55, Jalan Sultan, City Centre, 50000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (11.00 Pagi – 10 Malam), Jumaat – Ahad (8 Pagi – 10 Malam
Website/social media: Facebook; Instagram

Restoran Gamelan, Ara Damansara

Restoran Gamelan, Ara Damansara
Mula beroperasi pada tahun 2013, Restoran Gamelan yang terletak di Ara Damansara ini adalah sebuah restoran yang berkepakaran dalam menyediakan masakan tradisional melayu khususnya masakan Terengganu dari Pantai Timur Malaysia. Restoran ini berjaya menawan hati pelanggannya dengan rangkaian menu-menu tempatan yang menarik seperti Nasi Dagang, Nasi Minyak Klasik Terengganu, Pari Asam Pedas, Patin Tempoyak, lontong, laksa kuah merah, laksam dan kuih muih. Restoran ini agak luas, boleh menampung kapasiti yang agak ramai dengan meja-meja yang ada di bahagian dalam dan luar. Ia mempunyai konsep dekorasi yang sangat ringkas, dengan pilihan warna perabot dan dalaman yang melengkapi.

Fokus utama pada restoran ini adalah seleksi makanan tempatannya yang mempunyai hampir 40 menu keseluruhan. Banyak kuih muih tradisional yang sukar didapati dan hanya ada di pantai timur boleh didapati di Restoran Gamelan ini, salah satunya adalah kuih akok yang sangat popular di negeri Kelantan. Anda dan ibu anda sukakan makanan tempatan? Apa kata anda bawa mereka makan di sini pada sambutan hari ibu nanti. Menu-menu di Restoran Gamelan pasti kena dengan selera anda.

Kelebihan Restoran Gamelan, Ara Damansara:

  • Pakar dalam penyediaan masakan tradisional melayu pantai timur
  • Lebih 40 menu keseluruhan
  • Kuih muih yang hanya ada di pantai timur ada dijual disini
  • Kawasan agak luas, sesuai untuk majlis-majlis kecil
  • Harga yang berpatutan

Kekurangan Restoran Gamelan, Ara Damansara:

  • Dekorasi dalaman perlu lebih menarik

Info Restoran Gamelan, Ara Damansara:

Nama Restoran: Restoran Gamelan
Lokasi: Block F, Unit B1 – 01, Dataran PNB, Saujana Resort Seksyen U2, 40150 Shah Alam, Selangor
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (1.00 Pagi – 9.30 Malam), Sabtu (Tutup), Ahad (3.00 Petang – 9.30 Malam)
Website/social media: Facebook; Instagram

Mencari lebih banyak pilihan? Sila lihat restoran yang kami cadangkan di IOI Mall.

Untuk mencipta momen-momen dan kenangan indah bersama ibu anda, anda perlu pandai memilih restoran dengan persekitaran yang baik supaya dapat mempengaruhi mood anda dan ibu anda dalam mencipta kenangan terindah bersama. Semoga sambutan hari ibu anda pada tahun ini menjadi memori yang terindah buat anda sekeluarga.

Hari Ibu hanya setahun sekali. Tiada masalah untuk anda mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk memberikan yang terbaik buat ibu anda sebagai tanda cinta dan sayang anda kepada mereka. Walaupun tidak terbalas dengan segala pengorbanan yang mereka berikan, tetapi sekurang-kurangnya mereka rasa dihargai dengan usaha yang anda berikan.



Related posts