Jelajahi Keindahan 6 Masjid Tercantik di Seluruh Malaysia untuk Beribadah Bersama

Jelajahi Keindahan 6 Masjid Tercantik di Seluruh Malaysia untuk Beribadah Bersama
Melancong dan berkhemah


Musim perayaan adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh semua orang di Malaysia. Selama musim perayaan, seluruh negara diramaikan dengan kegembiraan dan sukacita. Cuti panjang juga diberikan kepada semua pekerja untuk merayakan musim perayaan bersama keluarga dan teman-teman. Banyak orang yang memilih untuk melancong ke pelbagai tempat menarik di seluruh negara semasa cuti ini. Ini adalah peluang yang baik untuk membawa rakan-rakan dari luar negara ke Malaysia untuk mengenali budaya dan keindahan tempat-tempat yang unik di Malaysia.

Malaysia mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik dan bersejarah yang mempunyai seni bina dan reka bentuk unik. Ada banyak masjid di seluruh negara yang menunjukkan keindahan seni bina dan reka bentuk yang kaya. Tempat-tempat ini menyajikan pengalaman yang menarik dan unik kepada pelancong. Oleh itu, jika anda sedang merancang percutian, pastikan anda mengunjungi tempat-tempat seperti ini untuk menghayati keindahan seni bina dan reka bentuk yang unik di Malaysia.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
Orang Shah Alam pasti selalu terlihat masjid ni kan? Keunikan warna biru kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikatakan menjadi rahsia tarikan puluhan ribu pelancong ke rumah ibadat berkenaan di Shah Alam, Selangor setiap tahun.

Jangan tak tahu, kubah ni adalah antara unsur seni bina yang selalu digunakan pada bangunan rumah ibadat umat Islam. Bagi kubah di Masjid ini, bahagian luarnya diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel berwarna biru berjalur putih serta bercorak tradisional yang dikelilingi kaligrafi ayat suci al-Quran.
Menarik lagi, masjid ini menjadi pilihan teratas pelancong luar negara mengunjungi rumah ibadat Islam di negara ini sehingga mendapat pengiktirafan sijil kecemerlangan oleh laman web pelancongan TripAdvisor lima tahun berturut-turut iaitu dari 2014 sehingga 2018. Lama tu..

Apa agaknya yang sangat istimewa dengan masjid ni kan? Dengar kata, antara tarikkan lainnya adalah kombinasi reka bentuk tradisi Islam dan Asia Barat, India, barat dan ciri-ciri binaan Melayu asli yang boleh disaksikan seperti mimbar kayu yang mempunyai ukiran ilham daripada masjid lama, mihrab diperbuat daripada marmar dan jubin serta disempurnakan dengan tulisan ayat suci al-Quran. Pengunjung yang datang nak beribadat bolehlah berasa seakan bersolat berlangitkan bintang pada waktu malam dek kerana rekaan siling masjid yang diterangi bebola lampu kecil.
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat, 8pg-5ptg. Sabtu dan Ahad tutup

Laman Web

Masjid Muhammadi, Kota Bharu

Masjid Muhammadi, Kota Bharu
Selain sejarah dan kepelbagaian makanannya, Kelantan di Kota Bharu ni terkenal juga dengan masjidnya. Masjid Muhammadi jika dari jauh kelihatan seperti bangunan lama dengan seni bina ciri Inggeris. Masjid ini telah berusia 155 tahun dan terletak berhadapan dengan Dataran Muhammadi yang juga berada di kawasan Zon Warisan Budaya.

Masjid Muhammadi ini boleh dikatakan sebagai pusat ilmu tertua di Kelantan berfungsi sebagai pusat ilmu dan pusat penyebaran syiar Islam sehingga Kelantan dikenali sebagai Serambi Makkah.
Seni bina masjid ini sungguh unik dengan ukiran serta kubah bercirikan Inggeris dan keseluruhan strukturnya diperbuat daripada simen. Menarik lagi, di bahagian tengah masjid ini terdapat satu telaga yang dikenali sebagai telaga Tok Kenali. Ada sejarah disebaliknya, dan menurut salah satu sumber, telaga ini wujud apabila Tok Kenali yang menjadi tenaga pengajar masjid ini pada tahun 1915 mahu mencari punca air. Sehingga kini, telaga tersebut masih berfungsi dengan baik malah menjadi salah satu punca air kepada masjid.

Nak tahu tak, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan kerabat diraja Kelantan juga sering ke Masjid Muhammadi untuk beribadat di sini.
Waktu Operasi: Isnin-Ahad, 5pg-10mlm.

Media Social

Masjid Kristal, Kuala Terengganu

Masjid Kristal, Kuala Terengganu
Uish, kalau siang pun dah cantik, waktu malam bertambahlah menarik masjid ini. Masjid Kristal ni pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia tau! Dunia tau! Sememangnya menjadi kebanggaan rakyat Terengganu juga seluruh Malaysia.

Masjid ini sebelum ini dibaik pulih dan kini kembali gah beroperasi setelah empat tahun direhatkan. Antara proses baik pulih yang dilakukan adalah penggantian kubah yang pecah, juga waterproofing pada atap rata masjid serta beberapa pembaikkan lain.

Dengar kata aspek pencahayaannya juga ditambah baik dan akan dilaksanakan hujung tahun ini untuk tarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.

Masjid ini mampu memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan didirikan dengan kos RM22 juta sering menjadi latar belakang gambar untuk setiap pengunjungnya. Ia mempunyai 51 kubah dan lengkap dengan empat menara sudah cukup menggambarkan kehebatan seni bina Islam Moorish yang cuba diterapkan pada pembinaannya. Kedudukan masjid itu di tengah Sungai Terengganu dan jelas boleh dilihat daripada Jambatan Sultan Mahmud membuatkannya bertambah sempurna serta memberi gambaran yang indah terutama kepada pelancong.

Masjid Kristal juga tidak mempunyai tingkap dan hanya dilengkapi dengan 15 pintu termasuk satu pintu utama tetapi ia lengkap dengan alat pendingin hawa bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad, 6pg-11mlm.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Salah satu masjid terindah di Malaysia malah merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan masyarakat muslim di Perak. Itulah dia Masjid Ubudiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar Perak. Dari jauh dah silau mata dek kubah emas mega masjid ini. Sekali pandang, masjid ini memang ibarat sebuah istana mewah zaman dulu-dulu tau.

Sesuailah dengan lokasinya di Kuala Kangsar, bandar Diraja kan. Masjid Ubudiah mempunyai seni bina dipengaruhi dari ‘Saracenic’ iaitu Islam-India. Ia juga mempunyai sejarah yang menarik kerana dibina oleh arkitek Inggeris pada tahun 1910 semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I.

4 buah menara tingginya menjadikan masjid ini lebih gah dan tampak lebih mewah. Masjid ini berbentuk oktagon atau segi lapan dan lantainya adalah daripada batu marmar berwarna merah dan putih. Reka bentuknya terlihat sangat unik dan kemas walaupun ketika pembinaannya negara dikatakan masih kekurangan tenaga mahir.

Sehingga kini Masjid Ubudiah adalah antara produk warisan yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dari industri pelancongan negara.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad, 9pg-12ptg, 3ptg-4ptg, 530ptg-6ptg. Jumaat tutup.

Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu

Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu
Ibarat terapung di atas air, Masjid Bandaraya ini penuh dengan binaan yang mampu memberikan pelbagai ilusi indah kepada pengunjungnya. Ia terletak di Kota Kinabalu, Sabah di kawasan persisiran pantai dengan pemandangan laut di Teluk Likas.

Masjid ini menjadi kebanggaan warga Kota Kinabalu dan memiliki sudut pandangan luar dan dalam yang seakan sama dengan beberapa sudut pemandangan Masjid Nabawi di Madinah.
Berdekatan dengannya adalah dataran terbuka untuk aktiviti kemasyarakatan dan disebabkan seni binanya yang unik, ia juga menjadi ikon pelancongan selain fungsi utamanya sebagai tempat beribadat.

Kolam indah di sekeliling masjid ini dikatakan bukan hanya berfungsi sebagai landskap malah untuk mengimbangi kepanasan matahari di sekitarnya terutama waktu tengah hari. Jika anda perhatikan elemen seni tradisional Melayu turut digunakan sebagai penghias pintu gerbang utama. Selain itu, seni khat, ukiran batu bercorak geometri Islam juga mengindahkan lagi masjid Bandaraya ini.
Waktu Operasi: Isnin-Ahad, 5pg-10mlm.

Media Social

Masjid Zahir, Alor Setar

Masjid Zahir, Alor Setar
Walaupun usianya melebihi angka 100 tahun, namun masjid ini tetap gah dengan keunikannya tersendiri. Masjid Zahir ini terletak di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar dan juga merupakan Masjid Diraja.
Apa yang menarik mengenai masjid ini adalah, ia mempunyai 261 batang tiang dan direka dengan suntikan seni bina timur tengah. Tapak keluasan Masjid Zahir adalah berukuran 39 meter persegi dan dikelilingi oleh ruang serambi dengan 4 buah anjung dan 5 buah kubah utama yang melambangkan 5 Rukun Islam.

Masjid ini menjadi mercu tanda Negeri Kedah dan turut disenaraikan antara 10 masjid tercantik di dunia. Apa yang membezakan masjid ini daripada masjid-masjid lain adalah kubahnya yang mempunyai corak tradisi atau kemelayuan di negara ini. Kubah Masjid Zahir berbentuk seperti bawang hasil pengaruh luar daripada Timur Sumatera. Ia menjadikan Masjid Zahir lebih unik daripada masjid lainnya.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad, 5pg-10mlm.

Peranan masjid sebagai pusat kegiatan ilmu sejak berzaman lamanya tidak dapat dinafikan. Pelbagai program berbentuk keagamaan boleh dilakukan di masjid-masjid ini sambil kita menikmati keindahan reka bentuknya.

Walaupun masjid ini kini telah dikenali sebagai tarikan pelancongan, namun sebagai tetamu, jagalah adab ketika berada di dalam masjid. Berpakaianlah dengan sopan menutup aurat dan elakkan berbuat bising kerana fungsi utamanya adalah tempat untuk umat Islam beribadat kepada Yang Maha Esa.



Related posts