Rancang Kewangan Anda! Simpanan Tetap (FD) Bermula Dengan Minimum RM500

Rancang Kewangan Anda! Simpanan Tetap (FD) Bermula Dengan Minimum RM500
Melancong dan berkhemah


Merancang kewangan adalah satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan. Seiring dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, anda perlu bersedia dengan perancangan kewangan untuk masa depan anda dan keluarga. Selain daripada pelaburan yang mempunyai risiko tidak menentu, salah satu cara merancang kewangan dengan selamat adalah dengan menyimpan sejumlah wang yang ditetapkan secara konsisten setiap bulan.

Akaun deposit tetap (FD) ialah sebuah platform yang ditawarkan pihak perbankan untuk menyimpan dan merancang kewangan anda dengan mudah, cepat dan selamat. Ia merupakan sejenis akaun yang membolehkan anda menyimpan wang dengan sebuah bank untuk satu tempoh yang ditetapkan seperti 3 bulan, 6 bulan, 12 bulan atau 60 bulan. Sebagai pulangan dan faedah, bank akan membayar satu kadar tetap kepada anda apabila simpanan anda telah matang. Ini merupakan pilihan jangka pendek atau sederhana yang sesuai untuk menyimpan wang atau untuk mengasingkan sejumlah wang sebagai simpanan untuk tujuan kecemasan. Kini, terdapat pelbagai bank di Malaysia menawarkan akaun deposit tetap kepada penggunanya. Jadi, jom kita lihat 5 buah bank di Malaysia yang menawarkan akaun deposit tetap dengan minimum RM500 sahaja.

Rancang Kewangan Anda! Top 5 Simpanan Tetap (FD) Bermula Dengan Minimum RM500

MBSB Term Deposit-i

MBSB Term Deposit-i
MBSB Bank Berhad, sebuah bank yang menjalankan Perbankan Islam sepenuhnya, diperbadankan pada 28 November 2005 dan merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Building Society Berhad. MBSB Bank Berhad telah diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia untuk menjalankan perniagaan Perbankan Islam. Untuk akaun deposit tetap, MBSB menawarkan dua kategori iaitu Term Deposit-I untuk dewasa dan Junior Term Deposit-I untuk remaja dan kanak-kanak.

Kedua-duanya menawarkan tempoh fleksibel dari 1 hingga 60 bulan dengan kadar faedah keuntungan tetap yang tinggi berdasarkan konsep kontrak Syariah Tawarruq Terbalik (Reversed Tawarruq) iaitu pihak pelanggan membeli komoditi dan menjualnya kepada bank. Yang lebih menarik, kedua-dua kategori akaun deposit tetap ini dilindungi oleh PIDM setakat RM 250,000 bagi setiap pendeposit.

Mengikut carta kadar faedah keuntungan dalam tempoh 60 bulan setelah mencapai tempoh matang, pendeposit akan menerima kadar faedah keuntungan sebanyak 3.65% dan ianya telah ditetapkan. Hanya dengan serendah deposit RM 500, anda akan menikmati kelebihan dan keuntungan ini. Percayalah, ia sangat berbaloi.

Kelebihan MBSB Term Deposit-i

  • Kadar faedah keuntungan yang ditetapkan
  • Berdasarkan konsep Syariah Tawarruq
  • Tiada Fi Broker
  • Pilihan pembayaran untung yang fleksibel ( bulanan, suku tahunan atau apabila matang)
  • Deposit minimum RM 500

Kekurangan MBSB Term Deposit-i

  • Pengeluaran separa tidak dibenarkan

Info MBSB Term Deposit-i

Nama Produk Term Deposit-I & Junior Term Deposit-I
Bank MBSB Bank Berhad
Kadar Faedah Keuntungan Tetap (60 Bulan : 3.65%)
Kriteria Kelayakan Term Deposit-I – Pemegang Akaun Individu atau Pemegang Akaun Bersama yang berumur 18 tahun dan ke atas (pemastautin dan bukan pemastautin)
Junior Term Deposit-I – Individu yang berumur bawah 18 tahun dan tertakluk kepada Akaun milik Pemegang Amanah, Akaun akan dibuka bersama dengan ibu bapa atau penjaga yang sah atau Pemegang Amanah.

Al Rajhi Bank Commodity Murabahah Term Deposit-i

Al Rajhi Bank Commodity Murabahah Term Deposit-i
Al Rajhi Bank adalah sebuah bank yang berpusat di Arab Saudi. Ia pernah dinobatkan sebagai sebuah rangkaian bank Islam dengan modal terbesar mengikut data pada tahun 2015. Merupakan pelabur terbesar dalam bisnes-bisnes di Arab Saudi, Al-Rajhi beroperasi di Riyadh dan mempunyai lebih 600 cawangan serata dunia termasuk Malaysia. Al-Rajhi Bank juga menawarkan akaun deposit tetap melalui produknya iaitu Commodity Murabahah Term Deposit -I.

Berdasarkan konsep syariah murabahah yang merujuk kepada pembelian dan penjualan aset dengan pendedahan kos aset dan kadar keuntungan, jumlah deposit minimum bagi akaun deposit tetap ini ialah sebanyak RM 1000 bagi tempoh kurang 3 bulan dan 500 bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan. Ia juga dilindungi oleh PIDM sehingga RM 250,000 bagi setiap pendeposit.

Yang lebih menarik, anda juga boleh membuka satu akaun deposit tetap melalui perkongsian gabungan dua orang. Dengan tempoh fleksibel dari 1 sehingga 60 bulan, pendeposit akan menikmati kadar faedah keuntungan yang ditentukan oleh pihak bank tertakluk kepada perubahan kadar keuntungan dari semasa ke semasa.

Kelebihan Al Rajhi Bank Commodity Murabahah Term Deposit-i

  • Berdasarkan konsep Syariah Murabahah
  • Dilindungi PIDM sehingga RM 250,000 bagi setiap pendeposit
  • Gabungan dua nama untuk satu akaun
  • Deposit minimum RM 500

Kekurangan Al Rajhi Bank Commodity Murabahah Term Deposit-i

  • Pengeluaran separa tidak dibenarkan
  • Keuntungan mengikut perubahan kadar faedah dari semasa ke semasa

Info Al Rajhi Bank Commodity Murabahah Term Deposit-i

Nama Produk Al Rajhi Bank Commodity Murabahah Term Deposit-i
Bank Al Rajhi Bank
Kadar Faedah Keuntungan Mengikut perubahan kadar faedah dari semasa ke semasa
Kriteria Kelayakan 1. 18 tahun ke atas
2. Akaun gabungan terhad kepada dua orang sahaja
3. Untuk yang berumur 1 bulan ke 17 tahun, Akaun akan dibuka bersama dengan ibu bapa atau penjaga yang sah atau Pemegang Amanah.

Bank Rakyat Term Deposit-i Account

Bank Rakyat Term Deposit-i Account
Bank Rakyat telah ditubuhkan pada 28 September 1954 di bawah Ordinan Koperasi 1948, dan kini di kawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Akta Institusi Kewangan Pembangunan (DAFIA 2002). Ia merupakan bank koperasi islam terbesar di Malaysia dari segi jumlah aset. Bank Rakyat turut menawarkan akaun deposit tetap yang diberi nama Bank Rakyat Term Deposit-I Account. Berlandaskan konsep Syariah Tawarruq, deposit minimum bagi akaun deposit tetap ini ialah RM 500 dengan tempoh fleksibel dari 2 hingga 60 bulan. Manakala bagi deposit untuk 1 bulan, deposit minimumnya adalah sebanyak RM 5,000.

Jika anda adalah pelanggan Bank Rakyat, anda diberi keistimewaan untuk menerima faedah lebih 0.01% daripada orang awam. Dilindungi dengan perlindungan takaful, kadar faedah keuntungan bagi akaun deposit tetap ini akan ditentukan seawal ketika akaun dibuka. Ini sangat menarik kerana lebih mudah untuk anda mengetahui kadar faedah yang anda akan dapat setelah tempoh matang nanti. Selain akaun individu, akaun deposit tetap ini juga terbuka untuk akaun perkongsian atau gabungan. Mengikut carta kadar faedah keuntungan, dalam tempoh 60 bulan setelah tempoh matang, pendeposit akan menerima kadar faedah keuntungan sebanyak 3.50%.

Kelebihan Bank Rakyat Term Deposit-i Account

  • Berdasarkan konsep Syariah Tawarruq
  • Dilindungi oleh perlindungan takaful
  • Tempoh fleksibel dari 2 hingga 60 bulan
  • Deposit minimum RM 500
  • Kadar faedah keuntungan lebih 0.01% buat pelanggan bank rakyat.

Kekurangan Bank Rakyat Term Deposit-i Account

  • Pengeluaran separa tidak dibenarkan
  • Tidak dilindungi oleh PIDM

Info Bank Rakyat Term Deposit-i Account

Nama Produk Bank Rakyat Term Deposit-i Account
Bank Bank Rakyat
Kadar Faedah Keuntungan Tetap (60 Bulan : 3.50%)
Kriteria Kelayakan 1. 18 tahun ke atas
2. Akaun gabungan
3. Untuk yang berumur 18 tahun kebawah, Akaun akan dibuka bersama dengan ibu bapa atau penjaga yang sah atau Pemegang Amanah.

Hong Leong Bank Fixed Deposit Account

Hong Leong Bank Fixed Deposit Account
Hong Leong Bank telah memulakan operasinya bermula pada tahun 1905 di Kuching, Sarawak. Pada 6 Mei 2011, Hong Leong Bank melangkah lebih besar dengan pemilikan terhadap aset-aset dan liabiliti EON Capital Sdn Bhd, menjadikan EON Bank juga sebahagian daripada Hong Leong Bank Group. Bank ini turut menawarkan akaun deposit tetap bermula dengan deposit minimum RM 500 bagi tempoh fleksibel 2 sehingga 60 bulan. Bagi tempoh 1 bulan pula, deposit sebanyak RM 5,000 diperlukan. Turut dilindungi PIDM sehingga RM 250,000 bagi setiap pendeposit, anda diberi kelebihan untuk mengeluarkan sebahagian daripada deposit tetap yang telah didepositkan, dan lebih menarik ianya tidak akan menyebabkan kehilangan faedah kepada baki.

Mengikut kadar faedah keuntungan yang ditetapkan dari semasa ke semasa, untuk 60 bulan setelah mencapai tempoh matang, anda akan menerima kadar faedah keuntungan sebanyak 2.40% dan ianya sangat mudah dikeluarkan. Anda boleh membuat pengeluaran dimana-mana cawangan Hong Leong Bank seluruh negara, tetapi jika anda pengguna Hong Leong Connect, anda hanya perlu mengeluarkan Deposit Tetap Tanpa Resit melalui Connect dengan memindahkan amaun ke akaun simpanan atau semasa HLB anda.

Kelebihan Hong Leong Bank Fixed Deposit Account

  • Dilindungi oleh PIDM sehingga RM 250,000
  • Tempoh fleksibel dari 2 hingga 60 bulan
  • Deposit minimum RM 500
  • Pengeluaran awal tanpa kehilangan faedah pada baki

Kekurangan Hong Leong Bank Fixed Deposit Account

  • Kadar faedah keuntungan yang rendah

Info Hong Leong Bank Fixed Deposit Account

Nama Produk Hong Leong Bank Fixed Deposit Account
Bank Hong Leong Bank
Kadar Faedah Keuntungan 60 Bulan : 2.40%
Kriteria Kelayakan 1. Pelanggan individu dan bukan individu
2. Warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas
3. Bagi warga Malaysia berumur 18 tahun ke bawah, akaun perlu dibuka sebagai akaun diamanahkan.

Affin Islamic Term Deposit-i

Affin Islamic Term Deposit-i
Affin Islamic Bank merupakan anak syarikat kepada Affin Bank. Ditubuhkan pada 1 April 2006, bank yang menjalankan Perbankan Islam sepenuhnya ini menawarkan produk dan khidmat untuk perbankan pengguna dan syarikat. Affin Islamic Term Deposit-I merupakan sebuah produk akaun deposit tetap yang ditawarkan kepada pengguna. Ia berlandaskan konsep syariah Wakalah dengan dasar komoditi Murabahah. Dengan minimum RM 500 bagi 2 hingga 60 bulan dan RM 5000 untuk 1 bulan, anda boleh menerima keuntungan awal, sama ada secara pendahuluan, bulanan atau pada tempoh matang.

Pengeluaran penuh secara awal juga dibenarkan sekiranya diperlukan oleh pelanggan tertakluk pada terma & syarat dan pastinya tiada caj tambahan dikenakan bagi pengeluaran pramatang. Dilindungi oleh PIDM, anda sebagai pendeposit akan dilindungi sehingga RM 250,000. Mengikut carta kadar faedah keuntungan, dalam tempoh 24 bulan setelah tempoh matang, pendeposit akan menerima kadar faedah keuntungan sebanyak 2.85% dan pendeposit boleh berunding dengan pihak bank untuk kadar faedah keuntungan selepas 24 bulan.

Kelebihan Affin Islamic Term Deposit-i

  • Dilindungi oleh PIDM sehingga RM 250,000
  • Tempoh fleksibel dari 2 hingga 60 bulan
  • Deposit minimum RM 500
  • Pendeposit layak menerima keuntungan awal
  • Pengeluaran penuh secara awal tertakluk terma & syarat, tiada caj tambahan

Kekurangan Affin Islamic Term Deposit-i

  • Kadar faedah yang rendah

Info Affin Islamic Term Deposit-i

Nama Produk Affin Islamic Term Deposit-i
Bank Affin Bank
Kadar Faedah Keuntungan 24 Bulan : 2.85%
Kriteria Kelayakan 1. Pemastautin dan bukan pemastautin
2. Berumur 18 tahun ke atas

Akaun deposit tetap merupakan salah satu cara untuk anda membuat simpanan secara konsisten dan menguntungkan. Digalakkan untuk anda mula membuat simpanan dengan cara ini kerana keuntungan yang anda akan akan dapat adalah pasti walaupun ada yang menawarkan kadar faedah keuntungan tetap ataupun berubah-ubah.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan sumber kewangan apabila anda menghadapi kesempitan wang, kecemasan atau bencana yang memerlukan anda mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak dan masa yang singkat. Lebih bagus sekiranya anda terus membuka akaun deposit tetap untuk anak-anak anda sebaik sahaja dilahirkan bertujuan untuk kegunaan pendidikannya di masa hadapan.

Apa yang penting, apa sahaja pilihan bank anda, pastikan akaun deposit tetap anda ini dilindungi oleh perlindungan PIDM dan takaful lebih-lebih lagi jika anda membuat simpanan dalam jangka masa yang panjang (60 Bulan).

Adakah anda sedang mencari lebih banyak pelaburan lain? Klik sini untuk membaca lebih lanjut.



Related posts