Luangkan Hujung Minggu Anda Dengan Menonton 5 K-Drama Terbaik 2022

Luangkan Hujung Minggu Anda Dengan Menonton 5 K-Drama Terbaik 2022
Hiburan


Selain menonton drama komedi romantik yang tipikal, drama aksi atau penyiasatan Korea adalah genre yang mempunyai permintaan paling tinggi dalam kalangan peminat K-drama. Dunia K-drama semakin dihangatkan dengan kemunculan siri terbaru yang mengangkat kisah-kisah penyiasatan dan jenayah.

Bukan itu sahaja, drama genre sebegini juga turut memaparkan kisah sebenar di sebalik jenayah yang pernah berlaku di dunia serta kemelut masalah melibatkan campur tangan politik, rasuah dan pembunuhan sehingga membuatkan anda tidak senang duduk. Ketegangan yang ditunjukkan dalam drama tersebut boleh mempengaruhi emosi penonton apabila melihat pegawai penyiasatan, pengamal undang-undang atau badan beruniform mencari solusi bagi menegakkan keadilan.

Drama Korea sebenarnya memberikan pelbagai pengetahuan kepada orang awam apabila mereka menerangkannya dalam istilah yang semua orang boleh faham dengan mudah. Jadi, untuk peminat K-drama, apa kata luangkan masa dengan menonton lima K-drama terbaik bulan ini. Ini cadangkan list drama korea yang paling best untuk kamu tonton hujung minggu ini!

Extraordinary Attorney Woo

Extraordinary Attorney Woo
Boleh dikatakan k-drama Extraordinary Attorney Woo sangat berjaya sehingga menarik perhatian penerbit Amerika Syarikat untuk dijadikan karya diadaptasi selepas ini. Extraordinary Attorney Woo sarat dengan humor, inspirasi dan kesedaran berkaitan golongan penghidap autism yang cemerlang. Drama ini berkisarkan Woo Young-woo lakonan mantap Park Eun-bin yang merupakan seorang penghidap gangguan spektrum autisme, namun sangat meminati bidang perundangan sehingga berjaya bergelar peguam di sebuah firma guaman terkemuka, Hanbada.

Pelbagai momen menarik berlaku sepanjang dia diberikan tanggungjawab dalam mengendalikan beberapa kes di mahkamah. Meskipun seorang autistik, kehebatan dan kebijaksanaan Young-woo dalam menyelesaikan sesebuah kes merupakan tarikan utama. Woo Young-woo juga seperti manusia normal lain yang ‘jatuh cinta’. Selain bergelar peguam hebat adakah dia juga berjaya dalam cinta? Saksikan Extraordinary Attorney Woo di aplikasi pentriman Netflix setiap hari Rabu dan Khamis pada jam 9 malam.

Spesifikasi Extraordinary Attorney Woo

Genre Ispirasi
Jumlah episod 16
Tayangan 29 Jun 2022 – 18 Ogos 2022
Pelakon Park Eun-bin (Woo Young-Woo), Kang Tae-oh (Lee Jun-Ho), Kang Ki-young (Jung Myeong-Seok), Ha Yoon-Kyung (Choi Su-Yeon), Joo Jong-Hyuk (Kwon Min-Woo)

Extraordinary Attorney Woo Trailer

Big Mouth

Big Mouth
Bagi peminat pelakon popular Lee Jong-Suk dan Lim Yoon-A , Big Mouth k-drama bergenre aksi dan thriller yang wajib ditonton. Big Mouth mengisahkan Park Chang Ho lakonan Lee Jong-Suk, merupakan seorang peguam yang cerewet dan hanya pandai berkata-kata. Kebanyakkan kes yang di bawah kendaliannya tidak pernah berjaya. Disebabkan itu dia digelar Big Mouth. Dia kebetulan terlibat dalam mengadili kes pembunuhan dan difitnah sebagai penipu yang licik. Situasi itu mengancam nyawa dan reputasinya.

Sementara itu, Go Mi Ho (Lim Yoon-A) ialah isteri Park Chang Ho bekerja sebagai jururawat. Dia mempunyai penampilan yang cantik, berpersonaliti bijak dan berani. Dia membantu suaminya menjadi seorang peguam dengan menyokongnya dari segi kewangan dan psikologi. Go Mi Ho mengetahui bahawa Park Chang Ho dituduh sebagai penipu yang licik dan cuba membersihkan nama suaminya. Big Mouth dijadualkan ditayangkan di saluran MBC dan tersedia untuk penstriman di Disney+ di kawasan terpilih bermula 29 Julai 2022, dan akan disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu tepat jam 9.50 malam.

Spesifikasi Big Mouth

Genre Aksi, Thriller
Jumlah episod 16
Tayangan Bermula 29 Julai 2022
Pelakon Lee Jong-Suk (Park Chang-Ho), Lim Yoon-A (Go Mi-Ho), Kim Joo-Hun (Choi Do-Ha)

Big Mouth Trailer

To X Who Doesn’t Love Me

To X Who Doesn’t Love Me
Drama bertajuk To X Who Doesn’t Love Me mungkin sama seperti drama percintaan dan romantik biasa lain, namun ia tetap mempunyai kelainan tersendiri. To X Who Doesn’t Love Me dibarisi pelakon utama seperti Han Ji Hyo (Seo Hee Soo), Kim Do Young (Jung Si Ho), Kwon Ah Reum (Park Se Jin). To X Who Doesn’t Love Me mengisahkan Seo Hee Soo seorang gadis biasa di sebuah pusat pengajian tinggi yang bercita-cita untuk menjadi penulis lirik yang berjaya. Dia tidak sehebat dan sepopular gadis lain, mempunyai tahap keyakinan yang rendah malah langsung tidak pernah bercinta kerana tidak berani untuk mendekati lelaki.

Dek kerana itu Seo Hee Soo bertekad untuk mengubah dirinya menjadi seseorang yang lebih ‘berani’. Namun dia hampir berputus asa sehingga dia menemui sebuah buku ajaib yang mempunyai kuasa untuk membuat sesiapa sahaja jatuh cinta kepadanya selama sebulan. Secara tiba-iba dia menjadi popular dan mendapat perhatian daripada ramai lelaki yang ingin menjadikannya kekasih. Hal itu menyebabkan ada rakan perempuannya yang cemburu dan cuba menyiasat. Adakah Seo Hee Soo menemui cinta sejati? Saksikan To X Who Doesn’t Love Me di saluran iQiyi dan Viki hujung minggu ini.

Spesifikasi To X Who Doesn’t Love Me

Genre Cinta, Romantik
Jumlah episod 10
Tayangan 14 Julai 2022- 28 Julai 2022
Pelakon Han Ji Hyo (Seo Hee Soo), Kim Do Young (Jung Si Ho), Kwon Ah Reum (Park Se Jin)

To X Who Doesn’t Love Me Trailer

Today’s Webtoon

Today's Webtoon
Kalau anda rindu ingin menonton lakonan si cantik Kim Se-Jeong, k-drama ‘Today’s Webtoon’ adalah siri terbaru lakonannya yang menemui penonton bermula 29 Julai 2022. Diadaptasi daripada siri manga Jepun, ‘Junhan Shuttai!’ oleh Naoko Matsuda, Today’s Webtoon ialah sebuah drama komedi untuk tahun 2022 yang ditunggu-tunggu. Today’s Webtoon mengisahkan On Ma-Eum yang berjuang bersama-sama dengan rakan sekerjanya untuk menjadi seorang editor webtoon sejati. On Ma-Eum mempunyai selera makan yang besar, deria bau yang tajam, dan pendengaran yang hebat dek kerana pernah menjadi seorang atlet Pasukan Judo Kebangsaan.

Dia bersara daripada menjadi seorang ahli sukan kerana terlibat dengan insiden malang semasa beraksi pada kejohanan Judo. On Ma-Eum kembali bangkit dan diterima bekerja di jabatan editorial webtoon. Walau bagaimanapun dia menghadapi kesukaran untuk bergaul dengan rakan sekerja kerana sifatnya yang ‘ganas’. Ketika perjuangan dalam hidupnya mula hilang, On Ma Eum mendapati dirinya menggapai impian baru. Persoalannya adakah dia mempunyai kekuatan yang dia perlukan untuk mengubah impian itu menjadi kenyataan? Jangan lupa saksikan Today’s Webtoon di saluran SBS, Viki, atau aplikasi berbayar Viu.

Spesifikasi Today’s Webtoon

Genre Komedi
Jumlah episod 12
Tayangan 29 Julai 2022 – 3 September 2022
Pelakon Kim Se-Jeong (On Ma-Eum), Daniel Choi (Seok Ji-Hyung), Nam Yoon-Soo (Ku Joon-Young)

Today’s Webtoon Trailer

The Good Detective 2

The Good Detective 2
‘The Good Detective 2’ adalah sambungan daripada siri musim pertamanya, ‘The Good Detective’ yang disiarkan pada tahun 2020. Ber’genre’ sama seperti yang terdahulu, The Good Detective 2 merupakan kisah dua orang rakan sepasukan dan detektif bahagian jenayah kekerasan dari Jabatan Polis Incheon Barat. Kang Do-chang lakonan Son Hyun-joo sering melakukan siasatan menggunakan pengalamannya dan juga kenalan rapat tanpa menghiraukan teknik saintifik atau pun kuasa pertimbangan.

Oh Ji-hyeok pula lakonan Jang Seung-jo seorang detektif elit dan cara kerjanya lebih teratur menyiasat menggunakan bukti selain memperhatikan emosi penjenayah. Berbekalkan kerjasama Do-chang dan Ji-hyeok selain sokongan pasukan siasatan mereka, ramai penjenayah dan kes jenayah berprofil tinggi berjaya dibanteras. ‘The Good Detective’ sebelum ini berjaya mengekalkan reputasi yang hebat sepanjang tayangannya apabila berjaya meraih rating tertinggi bagi slot drama setiap kali ke udara. Mampukah siri musim kedua ini akan mengikut jejak langkah? Saksikan ‘The Good Detective 2’ yang mula ditayangkan pada 30 Julai 2022 jam 10:30 malam di saluran KST, JTBC.

Spesifikasi The Good Detective 2

Genre Aksi. komedi
Jumlah episod 16
Tayangan 30 Julai 2022 – 18 September 2022
Pelakon Son Hyun Joo (Kang Do Chang), Jang Seung Jo (Oh Ji Hyuk), Kim Hyo Jin (Cheon Nana)

The Good Detective 2 Trailer

Drama Korea atau lebih dikenali sebagai K-Drama adalah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira umur. Jalan ceritanya yang sering menarik perhatian merupakan antara penyebab peminatnya tidak pernah bosan untuk menonton siri drama Korea setiap kali ianya ditayangkan. Kepada yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam dunia K-Drama ataupun yang sedang mencari drama yang boleh ditonton pada hujung minggu, anda dicadangkan untuk melanggan aplikasi atau portal yang berdaftar dan tonton K-Drama anda di mana sahaja dan bila-bila masa.

Jika hujung minggu ini anda tiada sebarang agenda atau lebih ‘bahagia’ duduk di rumah, apa kata habiskan masa terluang dengan menonton siri K-Drama terbaru juga popular. Ribuan judul K-Drama kini tersedia dan memasuki pasaran tempatan, sama ada di saluran televisyen tempatan mahupun ditonton secara dalam talian. Pilih sahaja genre yang menjadi pilihan dan layan sehingga habis kesemua episod setiap minggu. Namun begitu, apabila sudah terjebak, kamu pasti rela tidak keluar atau menghabiskan masa dengan rakan tetapi sanggup duduk terperuk dalam bilik tonton drama Korea dari pagi hingga malam. Hati-hati!



Related posts