Kembara Hidupan Liar di Malaysia: Zoo dan Taman Paling Menarik untuk Keluarga Semasa Cuti Sekolah

Kembara Hidupan Liar di Malaysia: Zoo dan Taman Paling Menarik untuk Keluarga Semasa Cuti Sekolah
Melancong dan berkhemah


Cuti sekolah adalah masa yang dinanti-nantikan oleh seluruh keluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama. Selain destinasi popular seperti Zoo Negara, terdapat banyak lagi zoo Malaysia terbaik serta taman haiwan unik yang menawarkan pengalaman menarik untuk semua lapisan umur. Tempat-tempat ini bukan sahaja memberi peluang untuk melihat haiwan liar dan eksotik, tetapi juga membantu anak-anak mempelajari keindahan alam semula jadi dalam suasana yang menyeronokkan dan pendidikan.

Dari taman yang menampilkan habitat haiwan tempatan hingga zoo interaktif yang membolehkan kanak-kanak memberi makan dan berinteraksi dengan haiwan, pelbagai destinasi ini pasti akan menjadi pilihan ideal bagi percutian keluarga menarik yang berbeza daripada kebiasaan. Jika anda mencari aktiviti untuk anak-anak, destinasi-destinasi ini menawarkan pengalaman pendidikan yang luar biasa. Mari kita terokai beberapa zoo dan taman tema Malaysia terbaik yang sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga!

Langkawi Wildlife Park

Langkawi Wildlife Park
Langkawi Wildlife Park memberikan pengalaman yang lebih daripada sekadar melihat haiwan di dalam sangkar. Taman ini direka untuk memberi peluang kepada pengunjung, terutama anak-anak, untuk berinteraksi secara langsung dengan haiwan. Pelbagai aktiviti seperti sesi memberi makan burung dan berpeluang mendekati rusa, burung eksotik, dan haiwan-haiwan jinak menjadikan pengalaman ini lebih interaktif dan bermakna. Selain berinteraksi dengan haiwan, Langkawi Wildlife Park juga menyediakan aktiviti pendidikan yang menekankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan spesies terancam. Terdapat sesi tunjuk ajar oleh kakitangan taman mengenai sifat semula jadi haiwan dan cara penjagaan habitat mereka.

Kelebihan Langkawi Wildlife Park:

  • Terletak di lokasi strategik, taman ini berada tidak jauh dari pusat bandar Langkawi
  • Terdapat laluan berbumbung untuk melindungi dari hujan dan panas, serta kawasan tempat duduk dan kemudahan lain seperti kafe
  • Pengunjung berinteraksi secara langsung dengan haiwan
  • Sesuai untuk pengunjung dari pelbagai peringkat umur

Kekurangan Langkawi Wildlife Park:

  • Walaupun terdapat laluan berbumbung, taman ini masih terbuka, dan cuaca panas serta lembap di Langkawi boleh memberi ketidakselesaan kepada pengunjung

Info Langkawi Wildlife Park:

Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pechah, 07000 Langkawi, Kedah
No Tel: 04-966 5855
Harga tiket: RM 30 – RM 45
Waktu operasi: 8.30 pagi – 5.30 petang
Website/Instagram: https://langkawiwildlifepark.com.my/

Farm In The City

Farm In The City
Tidak seperti zoo biasa di mana haiwan dikurung di dalam sangkar, di sini haiwan-haiwan bebas bergerak dan pengunjung boleh memberi makan, membelai, dan menyentuh haiwan seperti kura-kura, arnab, kambing dan burung. Farm In The City di Seri Kembangan, Selangor, adalah satu destinasi unik yang menggabungkan konsep petting zoo dengan elemen ladang tropika. Destinasi ini memberikan pengalaman yang menarik kepada keluarga dan kanak-kanak untuk mendekati haiwan dalam suasana yang tenang dan mesra alam, tanpa perlu menempuh jarak jauh untuk ke kawasan pedalaman. Hanya 20 – 30 minit sahaja dari Kuala Lumpur tau!

Kelebihan Farm In The City:

  • Pelbagai papan informasi ringkas disediakan untuk membantu anak-anak memahami habitat semula jadi haiwan
  • Haiwan-haiwan bebas bergerak dan pengunjung boleh memberi makan, membelai, dan menyentuh haiwan
  • Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mesra keluarga seperti kafe dan tandas
  • Terletak hanya sekitar 30 minit dari Kuala Lumpur

Kekurangan Farm In The City:

  • Tempat letak kereta agak terhad, terutama pada waktu puncak

Info Farm In The City:

Alamat: Lot 40187-40188, Jalan Prima Tropika Barat 1, Pusat Bandar Putra Permai, 43300 Seri Kembangan, Selangor
No Tel: 03-8941 3099
Harga tiket: RM 32 – RM 39
Waktu operasi: Tutup pada Selasa. 10 pagi – 6 petang (Isnin – Jumaat), 9.30 pagi – 6 petang ( Sabtu Ahad)
Website/Instagram: https://farminthecity.my/

Zoo Taiping & Night Safari

Zoo Taiping & Night Safari
Zoo Taiping adalah rumah kepada lebih daripada 1,500 haiwan dari pelbagai spesies termasuk mamalia, reptilia, dan burung. Pengunjung akan mendapat pengalaman unik, meneroka dan melihat haiwan dengan pejalanan sejauh 2.5km yang terdiri daripada West Loop dan East Loop dalam suasana semula jadi. Zoo ini mempunyai kualiti tersendiri kerana ia terletak di kawasan di mana alam semula jadi berkembang dengan aliran semula jadi, tasik yang tenang dan kehijauan yang subur. Menarik lagi, Night Safari akan memberi anda pengalaman baru melawat zoo. Ia telah dibuka kepada orang ramai sejak 2003, memberi peluang kepada pengunjung untuk memerhati haiwan pada waktu malam, ketika kebanyakan mereka sangat aktif.

Kelebihan Zoo Taiping & Night Safari:

  • Sesi memberi makan haiwan di mana kanak-kanak boleh melihat dengan lebih dekat
  • Laluan pejalan kaki yang mudah diakses, tempat duduk yang banyak di sekitar taman, serta kafe dan kedai cenderamata
  • Dikelilingi oleh kehijauan dan tasik yang indah
  • Lokasi yang strategik di Taiping
  • Harga berpatutan

Kekurangan Zoo Taiping & Night Safari:

  • Waktu lawatan malam yang terhad

Info Zoo Taiping & Night Safari:

Alamat: Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping, Perak
No Tel: 05-808 6577
Harga tiket: RM 16 – RM 20
Waktu operasi: 8.30 pagi – 6 petang & 8 malam – 11 malam
Website/Instagram: https://zootaiping.gov.my/en

Zoo Johor

Zoo Johor
Sebagai salah satu zoo tertua di Malaysia, Zoo Johor menawarkan pelbagai pengalaman menarik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik. Dengan lebih daripada 100 spesies haiwan, pengunjung dapat menyaksikan keindahan alam dan keunikan pelbagai haiwan dari dalam dan luar negara. Terdapat juga program interaksi yang membolehkan pengunjung memberi makan kepada haiwan tertentu, seperti arnab, kuda dan kambing. Aktiviti ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi secara langsung dengan haiwan dan belajar tentang cara penjagaan dan pemeliharaan mereka.

Kelebihan Zoo Johor:

  • Lebih daripada 100 spesies haiwan
  • Program interaksi yang membolehkan pengunjung memberi makan kepada haiwan tertentu
  • Persembahan haiwan yang menarik
  • Pelbagai kemudahan yang mesra keluarga
  • Lokasi yang strategik berhampiran pusat bandar Johor Bahru

Kekurangan Zoo Johor:

  • Kekurangan aktiviti untuk pengunjung dewasa

Info Zoo Johor:

Alamat: Jalan Gertak Merah, Taman Istana, 80000 Johor Bahru, Johor
No Tel: 07-223 0404
Harga tiket: RM 5 – RM 10
Waktu operasi: 9 pagi – 6 petang, tutup pada Selasa
Website/Instagram: https://zootiket.johor.gov.my/products/zoo-johor

Zoo Melaka

Zoo Melaka
Zoo Melaka terletak di Ayer Keroh, Melaka, adalah salah satu destinasi menarik yang wajib dilawati oleh seisi keluarga. Dengan pelbagai spesies haiwan dan aktiviti interaktif, zoo ini menyediakan pengalaman yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendidik untuk semua peringkat umur. Zoo ini juga mempunyai beberapa spesies terancam, memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat dan belajar tentang pemeliharaan haiwan yang berada dalam ancaman kepupusan. Selain itu, kemudahan yang mesra keluarga juga disediakan seperti tandas bersih, kawasan permainan kanak-kanak, dan kafe yang menyajikan pelbagai pilihan makanan dan minuman.

Kelebihan Zoo Melaka:

  • Antara tarikan menarik di Melaka
  • Laluan pejalan kaki yang luas dan teduh membolehkan pengunjung berjalan-jalan dengan selesa
  • Berada dalam jarak dekat dengan pelbagai tarikan lain, termasuk Taman Mini Malaysia, Taman Botanikal Melaka, dan Melaka Wonderland

Kekurangan Zoo Melaka:

  • Sering kali sesak, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah

Info Zoo Melaka:

Alamat: Jalan Tun Abdul Razak, Hang Tuah Jaya, 75450 Ayer Keroh, Melaka
No Tel: 06-232 3900
Harga tiket: RM 38
Waktu operasi: Isnin – Khamis ( 10 pagi – 5 petang), Jumaat & Sabtu (9 pagi – 6 petang, 8 malam – 11 malam), Ahad ( 9 pagi – 6 petang)
Website/Instagram: https://www.zoomelaka.gov.my/history.html

Sebelum lawatan, bincangkan bersama anak-anak tentang kepentingan menjaga hidupan liar dan ekosistem. Ini akan membuat mereka lebih menghargai haiwan dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Selain itu, merakam gambar haiwan yang dilihat di zoo dan taman adalah aktiviti yang menyeronokkan bagi anak-anak. Ini juga memberi mereka peluang untuk melihat kembali pengalaman mereka dan belajar lebih lanjut tentang haiwan tersebut selepas lawatan. Dan jangan lupa untuk pastikan keluarga mematuhi peraturan zoo atau taman dan menghormati haiwan dengan tidak menakutkan atau mengganggu mereka. Ini membantu anak-anak memahami etika menjaga alam semula jadi dan menghargai kepelbagaian hidupan liar.

Kembara hidupan liar di zoo dan taman di Malaysia adalah cara yang hebat untuk menggabungkan pembelajaran dan keseronokan bagi anak-anak semasa cuti sekolah. Dengan banyak pilihan tempat menarik, keluarga dapat meluangkan masa berkualiti sambil mendekati keindahan alam dan kehidupan liar. Selamat bercuti dan semoga kembara anda penuh ilmu serta kegembiraan!



Related posts