iOS 16 Perkenal 5 Ciri Baharu Untuk Pengguna Peranti Apple Malaysia 2022
Syarikat teknologi terbesar dunia, Apple, telah memulakan Persidangan Pengaturcara Sedunia, atau Worldwide Developers Conference (WWDC) 2022 yang berlangsung di Apple Park, Cupertino California, Amerika Syarikat baru-baru ini. Apple memperkenalkan inovasi baharu dalam perisian, teknologi dan ciri sistem operasinya iaitu iOS 16. Pengguna peranti pintar keluaran Apple iaitu iPhone akan datang boleh menaiktaraf sistem operasi iOS versi 16 untuk capaian lebih terkini.
Menerusi versi baharu itu, Apple memperkenalkan beberapa ciri baharu mesra pengguna dan pastinya ia memberi manfaat kepada semua pengguna. Ini antara 5 ciri baharu diperkenalkan dan beberapa perkara yang boleh pengguna lakukan menerusi iOS 16 berkenaan.
Kelebihan iOS 16
- Ciri penyesuaian baharu untuk skrin kunci dan perubahan secara menyeluruh.
- Masalah keselamatan pada peranti dapat diselesaikan dengan lebih pantas.
- Mesra pengguna
Kekurangan iOS 16
- Tarikh sebenar iOS 16 dilancarkan pengguna di Malaysia belum diumumkan. (Ketika tarikh artikel ini disiarkan)
Spesifikasi iOS 16
Preview | https://developer.apple.com/videos/play/wwdc2022/110929/ |
---|---|
Website | https://www.apple.com/ios/ios-16-preview/ |
Tarikh dilancarkan | Beta pertama iOS 16 kini tersedia kepada pembangun. Beta awam akan tersedia kemudian pada bulan Julai 2022 |
Personalized Lock Screen
Menerusi ciri iOS 16 baharu menerusi Personalized Lock Screen, pengguna boleh memilih font daripada barisan font terpilih (seperti pada Pixel) dan menambah widget. Ini bermakna pengguna iPhone yang terlibat tidak lagi perlu menyahkunci skrin untuk melihat atau menggunakan widget.
Pengguna boleh mencipta Lock Screen yang berbeza menggunakan latar belakang unik yang ditambah baik atau hanya mempamerkan foto kegemaran, gaya dan paparan set widget dengan lebih pantas. Gemarkan emoji? Corak latar belakang menggunakan emoji kegemaran juga boleh dilakukan secara automatik. Bagi notifikasi menerusi ciri iOS 16 pula, akan muncul daripada bawah dan menjadi salah satu perubahan terbesar dialami pengguna iPhone.
Live Text in Video
Live Text in Video merupakan ciri baharu iOS 16 yang cukup menggembirakan pengguna iPhone yang sering mengambil tangkapan layar untuk memilih teks yang dipaparkan. Sebelum ini Ciri Live Text hanya menyokong gambar yang dipilih, namun kini ia menyokong pula pada video. Visual Look Up juga membawakan sokongan yang sama. Oleh itu proses alih bahasa, menukar mata wang dan banyak lagi boleh dilakukan terus dengan hanya sekali tekan. Sistem Live Text in Video lebih mesra pengguna berbanding yang digunakan Google Lens.
CarPlay
CarPlay kini hadir dengan lebih banyak fungsi di mana ia memaparkan lebih banyak ciri dan maklumat pemanduan dan sebagainya. CarPlay digabung bersama aksesori atau peralatan kereta membolehkan pengguna mengubah suhu, mengawal sistem pendingin hawa, menukar audio dan banyak lagi yang menjadikannya salah satu komponen penting dalam kereta.
CarPlay juga tidak lagi terhad pada saiz skrin yang kecil dan nisbah tertentu sahaja. Menerusi kerjasama dengan beberapa syarikat automotif utama seperti Honda, Volvo, Jaguar dan Ford, CarPlay kelak dapat digunakan pada kesemua skrin dalam kokpit kenderaan. Menerusi CarPlay, paparan pemanduan juga dapat dilihat pemandu dengan pilihan meter jenis analog, digital dan paparan navigasi terus di tengah.
Apple Pay Later
Ini antara ciri iOS 16 yang digemari buat kaki shopping! Apple Pay Later diperkenalkan dengan fungsi bayar kemudian untuk pengguna mengurangkan beban kewangan atau boleh ‘berhutang’ selama 6 minggu tanpa faedah. Menarik bukan? Apple Pay Later boleh digunakan di semua platform yang menerima pembayaran Apple Pay. Selain itu untuk menerusi ciri ini, pengguna juga boleh menjejak pesanan atau menyemak resit menerusi Wallet.
iCloud Shared Photo Library
Untuk aplikasi Photos, ciri baharu diperkenalkan melalui ciri iOS 16 terbaharu ialah iCloud Shared Photo Library. iCloud Shared Photo Library terhad untuk lima orang untuk menyertainya dan ahlinya bebas berkongsi apa sahaja gambar di dalamnya. Butang khas turut tersedia dalam aplikasi kamera untuk memudahkan pengguna terus kongsikan secara automatik ke mana-mana library.
Dengan iCloud Shared Photo Library pengguna Apple boleh berkongsi gambar yang diambil menggunakan iPhone terus dengan ahli keluarga. Photos turut mengecam wajah dalam gambar secara automatik. Jika gambar mengandungi ahli iCloud Shared Photo Library, gambar tersebut akan dimasukkan terus untuk dikongsi walaupun pengguna terlupa memilih untuk melakukannya dalam aplikasi kamera.
Menurut laman rasmi Apple, ciri sistem operasi iOS 16 yang baru sesuai dan serasi untuk peranti iPhone 13, iPhone 13 mini, iPhone 13 Pro, iPhone 13 Pro Max, iPhone 12, iPhone 12 min,i iPhone 12 Pro, iPhone 12 Pro Max, iPhone 11, iPhone 11 Pro, iPhone 11 Pro Max, iPhone XS, iPhone XS Max, iPhone XR, iPhone X, iPhone 8, iPhone 8 Plus, dan iPhone SE. Manakala terdapat beberapa peranti keluaran syarikat itu yang dianggap tidak lagi menerima kemas kini terbaru iaitu iPhone 6S, iPhone 6S Plus, iPhone SE dan iPhone 7.
Persidangan Pembangun Sedunia Apple atau WWDC 2022 berlangsung pada 6 Jun hingga 10 Jun 2022 lalu diteruskan dalam format maya untuk tahun ketiga berturut-turut. Ia sentiasa dinantikan ramai pihak, bukan sahaja pembangun aplikasi tetapi juga pengguna biasa kerana Apple membentangkan perancangan mereka untuk sistem operasi terkini termasuk iOS, iPadOS, macOS, watchOS dan tvOS.