Ranggi Bergaya! Ini 5 Motosikal Cruiser Popular Bajet Bawah RM30K Di Malaysia 2022
Model motorsikal segmen cruiser sangat popular di negara Amerika Syarikat. Motorsikal cruiser adalah gaya ‘Grand American Tourer’ yang tampil lebih mewah dan mantap untuk menempuh laluan panjang seperti lebuh raya. Ia sering digambarkan sebagai pilihan model untuk pengembaraan, penjelajahan dan prestasi.
Motorsikal cruiser berkuasa tinggi untuk tunggangan santai dengan gaya ranggi. Selalunya, pemilik motosikal jenis ini akan mengenakan pakaian yang ranggi, amat lincah dalam mengharungi kesesakan lalu lintas serta stabil dan menenangkan ketika melalui jalan luar bandar sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Ciri-ciri motosikal cruiser adalah mempunyai bar pemegang yang agak tinggi, tempat duduk rendah, roda belakang yang jauh lebih besar daripada hadapan, pemijak kaki hadapan yang terletak jauh serta bunyi ekzos yang agak bingit. Umum mengetahui sebagai sebuah motosikal cruiser, jenama apa pun pembuatannya ia pasti didatangkan dengan reka bentuk agresif, sekali gus bersesuaian dengan penunggang yang gemar menonjolkan gaya dan keanggunan motosikal mereka.
Harga sebuah motosikal cruiser sering dipaternkan dengan gaya mewah dan ekslusif hadir dengan harga yang tinggi melebihi RM100,000. Namun jika kalian mencari cruiser pada harga bajet di Malaysia 2022, ini 5 motosikal segmen cruiser popular dan harga bawah RM30,000 untuk dimiliki.
Keeway Patagonian Eagle 250
Salah sebuah model cruiser yang masih ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini pada harga mampu milik ialah Keeway Patagonian Eagle 250. Keeway Patagonian Eagle 250 dilancarkan di pasaran Malaysia sejak tahun 2017, dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan merah.
Keeway Patagonian Eagle 250 dikuasakan enjin dalam sesaran 249cc (2-cylinder, 4-stroke, 4-valve), dilengkapi sistem penyejukan jenis cecair, sistem penghidup jenis elektrik dan dipadankan kotak gear lima kelajuan. Jumlah keluaran kuasanya mencapai 17.67PS @ 8,000rpm dengan tork 16.5Nm @ 6,000rpm.
Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 12 liter. Di bahagian suspensi terdiri daripada fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang berkembar, manakala sistem brek cakera dipadankan dengan sistem brek jenis dram. Sport rim sporty yang menghiasi roda Keeway Patagonian Eagle 250 dipasangkan tayar depan dan belakang masing-masing dalam ukuran 90/90-R18 dan 130/90-R15.
Keeway Patagonian Eagle 250 hadir dengan speedometer yang bergaya klasik, tempat duduk belakang dengan penyandar dan paip ekzos berkembar yang kelihatan garang.
Kelebihan Keeway Patagonian Eagle 250
- Harga berpatutan
- Reka bentuk pintar dan pendirian tinggi
- Kualiti tunggangan yang selesa
- Ada 2 pilihan warna merah dan hitam
Kekurangan Keeway Patagonian Eagle 250
- Enjin kurang kuasa
Spesifikasi Keeway Patagonian Eagle 250
Pasaran | https://malaysia.keeway.com/product/patagonian-eagle-250 |
---|---|
Berat | 148kg |
Enjin | 249cc, 2-silinder, 4-stroke, 4-valve |
Harga | RM9,388.00 |
Zontes 310V
Zontes menawarkan model cruiser berinovasi tinggi, iaitu Zontes 310V lengkap dengan teknologi terkini dan prestasi terhebat pada harga yang mengagumkan. Jika melihat kepada reka bentuknya yang unik, Zontes 310V menunjukkan sisi sebuah cruiser moden buatan negara China.
Antara yang menarik ialah instrumen meter Zontes 310V cukup moden apabila didatangkan paparan LCD TFT berwarna sepenuhnya dan mempunyai sambungan Bluetooth untuk telefon pintar. Zontes 310V lebih mudah untuk didekati, dengan erti kata lain, senang untuk ditunggang dan lebih mampu dimiliki.
Trenkuasanya mempunyai enjin 4-lejang silinder tunggal 312cc DOHC berkuasa 34.87hp @ 9,500rpm dan tork 30Nm @7,500rpm. Dengan nisbah mampatan 12.5:1, enjin digunakan, Zontes 310V mampu mencapai pecutan maksimum 160kmj, manakala hantaran kuasa lancar ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan sirat malar (constant-mesh). Zontes 310V hadir dengan pilihan warna menawan iaitu merah, hitam, putih, kuning.
Kelebihan Zontes 310V
- Reka bentuk premium
- Baik untuk pengembaraan jauh
- Didatangkan paparan LCD TFT berwarna sepenuhnya
- Pilihan 4 warna iaitu Hitam, Putih, Merah dan Kuning
Kekurangan Zontes 310V
- Kebolehpercayaan jangka panjang belum terbukti
Spesifikasi Zontes 310V
Pasaran | https://zontesbenelux.com/en/product/310v/ |
---|---|
Berat | 157kg |
Enjin | 312cc, Satu Silinder DOHC, Penyejuk Cecair |
Harga | RM19,500.00 |
Royal Enfield Classic 350
Jenama Royal Enfield sudah berada di Malaysia lebih 10 tahun dan dek populariti yang ada pada jenama Harley-Davidson menyebabkan minat terhadap motosikal jenis cruiser meningkat di seluruh dunia termasuk Malaysia. Royal Enfield Classic 350 antara pilihan ramai dikuasakan enjin 349cc silinder tunggal, SOHC, suntikan bahan api, sejukan cecair dan udara.
Royal Enfield Classic 350 mampu menjana 20.2 kuasa kuda dan tork 27Nm menerusi kotak gear lima kelajuan. Model ini menampilkan rekaan klasik moden dengan ciri kerangka Twin Downtube Spine, roda hadapan bersaiz 19 inci dan roda belakang pula 18 inci. Royal Enfield Classic 350 dilengkapi brek cakera hadapan dan belakang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Ia juga datang dengan kluster meter digital LCD, analog, tangki bahan api 13 liter dan pilihan warna seperti Chroma Red, Chrome Bronze, Gunmental Grey.
Kelebihan Royal Enfield Classic 350
- Menampilkan rekaan klasik moden yang ikonik
- Kualiti tunggangan yang menakjubkan
- Enjin berkuasa
- Pilihn 3 warna iaitu Chroma Red, Chrome Bronze, dan Gunmental Grey
Kekurangan Royal Enfield Classic 350
- Getaran enjin mungkin mengganggu
Spesifikasi Royal Enfield Classic 350
Pasaran | https://www.royalenfield.com/in/en/motorcycles/classic-350/ |
---|---|
Berat | 195kg |
Enjin | 349cc, silinder tunggal, SOHC |
Harga | RM25,119.00 – RM28,473.00 |
CFMoto 700 CL-X Heritage
CFMoto 700 CL-X Heritage merupakan sebuah motosikal model yang unik. Bentuk fizikalnya moden dan terkini di antara rekaan cruiser dan scrambler, namun lebih mengetengahkan konsep power cruiser. CFMoto 700 CL-X Heritage menampilkan handel open bar untuk menampilkan imej jalanan yang tampak lebih agresif.
Roda hadapan CFMoto 700 CL-X Heritage bersaiz 18 inci sementara untuk roda belakangnya dipadankan dengan roda 17 inci dilihat mampu menjadikan jentera ini dipandu dengan lebih efisien.
Lampu LED dipergunakan secara meluas serta ciri-ciri yang menambah kemodenan rekaan motosikal ini ialah dengan terdapatnya ruang mengecas telefon dan tombol cruise control yang menambah ciri penunggangan unik motosikal ini.
Pengendalian CFMoto 700 CL-X Heritage dalam selekoh-selekoh cukup mengujakan kerana keberkesanan penyerap hentakan depan dan belakang serta cengkaman tayar Pirelli yang dibekalkan sebagai standard kilang.
Kelebihan CFMoto 700 CL-X Heritage
- Kuasa enjin yang hebat
- Bentuk fizikalnya moden dan terkini
- Pemanduan lebih efisien
- Terdapatnya ruang mengecas telefon
Kekurangan CFMoto 700 CL-X Heritage
- Sistem pengesanan penyalaan lampu automatik tidak sesuai dengan undang-undang jalan raya tempatan. Di Malaysia, semua motosikal perlu menyalakan lampu hadapannya setiap masa.
Spesifikasi CFMoto 700 CL-X Heritage
Pasaran | https://global.cfmoto.com/700CC/12842.html |
---|---|
Berat | 196kg |
Enjin | 693cc, 2 silinder inline, sejukan cecair |
Harga | RM28,800.00 |
Honda Rebel 500
Honda Rebel 500 adalah antara cruiser paling ringan dalam pasaran, mudah dikendalikan dan menyeronokkan. Selain penampilan dianggap antara model cruiser keluaran Jepun yang paling ‘cool’, Honda Rebel 500 menawarkan ruang kepada pemiliknya untuk mengubah suai berdasarkan cita rasa masing-masing.
Ketinggian tempat duduknya pula adalah sekitar 60cm, memberi keselesaan kepada penunggang kecil, mahupun wanita dengan ketinggian 155cm dan ke atas. Dikuasakan enjin berkembar selari, Rebel 500 menjana tork pada bahagian bawah yang kuat dan penghantaran kuasa yang lancar.
Honda Rebel 500 memiliki enjin 471cc 8-valve, dua silinder penyejukan cecair, tenaga puncak sebesar 35,2kW pada 8.500rpm dengan tork maksimum 45,8Nm pada 5.500 rpm. Dari segi prestasinya Honda Rebel 500 adalah model yang lebih menjurus kepada gaya hidup dengan tunggangan santai, namun pecutan pada tahap 140 – 160km sejam bukanlah perkara sukar.
Kelebihan Honda Rebel 500
- Gaya yang mengagumkan
- Ergonomik menunggang
- Kualiti tunggangan diakui
- Dikuasakan enjin berkembar selari
Kekurangan Honda Rebel 500
- Konsol instrumen yang membosankan
Spesifikasi Honda Rebel 500
Pasaran | https://powersports.honda.com/street/cruiser/rebel-500 |
---|---|
Berat | 184.7kg |
Enjin | 471cc, DOHC, sejukan cecair |
Harga | RM30,000.00 |
Apabila terfikir motosikal cruiser, sering terbayang motosikal yang berat dan sukar dikendalikan, khususnya di jalan sesak seperti di pusat bandar. Susulan itu, motosikal sedemikian dirasakan hanya sesuai untuk penunggang yang berpengalaman.
Situasi sedemikian berubah apabila banyak jenama motosikal mula memperkenalkan model cruiser siri yang ringan dan mudah dikendalikan bermula pada sekitar tahun 1983 sehingga hari ini. Dek kerana itu, di Malaysia sendiri kita boleh melihat ramai yang telah memiliki motorsikal sebegini meluncur laju di jalan raya samada bergerak solo atau berkumpulan. Ia diminati oleh penunggang yang gemarkan tunggangan jarak jauh dan santai.
Berkuasa, stabil, reka bentuk ikonik, selesa dan mudah ditunggang. Kesimpulannya, motorsikal jenis cruiser yang sempurna, antara model wajar diberi pertimbangan jika anda bercadang memiliki motosikal dalam segmen ranggi.