Tahun Baru, Peranti Baharu: Dapatkan 5 Telefon Pintar Terkini Mengikut Bajet Anda di Malaysia 2024

Tahun Baru, Peranti Baharu: Dapatkan 5 Telefon Pintar Terkini Mengikut Bajet Anda di Malaysia 2024
Peralatan mudah alih dan aksesori


Awal tahun baru ramai di antara kita yang menerima bonus atau imbuhan dari perbankan, pelaburan, simpanan atau usaha bekerja setahun yang lalu. Boleh jadi juga mungkin memiliki lebih wang saku pemberian daripada keluarga atau sanak saudara ketika musim perayaan atau cuti panjang yang lalu. Tahun baru selalunya, setiap individu mengharapkan perubahan baru berlaku dalam kehidupan, begitu juga untuk upgrade gajet peribadi ke tahap yang lebih baik dan terkini. Menurut data carian Google, memasuki tahun baru masyarakat dunia lebih berminat dengan isu produk global termasuk alat elektronik seperti gajet. Carian telefon pintar terkini, dikatakan mengungguli carta paling popular dalam kategori gajet paling dicari.

Ada pelbagai jenama telefon pintar terkemuka yang pantas mencipta nama dalam industri global mempunyai spesifikasi bualan ramai. Yang pasti jenama-jenama besar bagi telefon pintar ini mewujudkan peranti dengan siri cemerlang masing-masing mengikut kehendak pelanggan juga perubahan dunia digital dari tahun ke tahun. Jika anda masih menggunakan telefon pintar lama, ini adalah masa terbaik untuk mendapatkan pelbagai model terkini dan jenama telefon pintar sesuai dengan bajet anda di Malaysia untuk tahun 2024. Semak lima telefon pintar terkini pelbagai pilihan daripada aspek model, harga, spesifikasi dan jenama ini.

OPPO Find N3 Flip (bermula RM4,399.00)

OPPO Find N3 Flip (bermula RM4,399.00)

OPPO baru sahaja mengeluarkan telefon pintar lipat generasi ketiga iaitu OPPO Find N3 Flip. Peranti ini menggunakan pemprosesan CPU MediaTek Dimensity 9200 dipadukan dengan RAM LPDDR5X dan penyimpanan UFS 4.0. OPPO Find N3 Flip mempunyai skrin 6.8-inci Foldable LTPO AMOLED menyokong Wifi, Bluetoth, NFC, GPS, HSPA, LTE-A dan 5G. Siri OPPO Find N3 terbaharu ini dikatakan menang pada gaya anggunnya dan spefikasi kameranya yang luar biasa.
Dengan tiga kamera terbaik, OPPO Find N3 Flip mampu menghasilkan komposisi fotografi gred profesional, yang memperkenalkan kamera telephoto pertama terdapat di pasaran. Skrin muka depan menegak OPPO Find N3 Flip menawarkan pengalaman pratonton unggul yang membolehkan pengguna mengambil gambar dengan lebih mudah, memastikan kedua-dua subjek dan latar belakang kekal dalam paparan secara sempurna. Malah ia juga dilengkapi dengan Li-Po 4300 mAh dengan ketebalan peranti 16.5 mm, seberat 198g, dan menggunakan Android 13, ColorOS 13.2.

Kelebihan OPPO Find N3 Flip:

  • Menang pada fotografi dengan 3 kamera
  • Skrin 6.8-inci Foldable LTPO AMOLED
  • Gambar dan video pada waktu malam terang dan jelas
  • Kemas dan ringan dalam genggaman dengan berat 198g

Kekurangan OPPO Find N3 Flip:

  • Stok terhad untuk warna Misty Pink

Spesifikasi OPPO Find N3 Flip:

Pemprosesan: MediaTek Dimensity 9200
Warna: Cream Gold, Misty Pink, Sleek Black
Harga: Bermula RM4,399.00

Sony Xperia 5 V (bermula RM4,499.00)

Sony Xperia 5 V (bermula RM4,499.00)

Sony juga tidak melepaskan peluang melancarkan telefon pintar siri Xperia terbaharu iaitu Sony Xperia 5 V serba premium. Sony Xperia 5 V menampilkan fungsi kamera luar biasa iaitu Exmor T, direka untuk merakam ekspresi manusia dengan tekstur kulit yang menakjubkan. Malah terdapat pelbagai pilihan aturan kamera, termasuk kesan bokeh, teknologi AI untuk fotografi potret dan aturan warna untuk menetapkan mood yang diingini. Apl Pencipta Video yang baru turut diperkenalkan pada Sony Xperia 5 V memudahkan kerja penyuntingan video, membolehkan pengguna memilih foto, video dan muzik dengan pantas. Hasilnya kelihatan profesional hanya dalam masa satu minit sahaja.
Memiliki paparan OLED, pengguna Sony Xperia 5 V boleh menonton drama kegemaran atau menikmati video dengan kualiti imej tinggi TV BRAVIA® Sony X1™. Jika anda kaki gaming, Sony Xperia 5 V tampil dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon® 8 Gen2 dan Elite Gaming menyokong permainan yang stabil. Selain itu, peranti ini mempunyai prestasi bateri berkapasiti sebesar 5,000mAh, dengan baki lebih 50 peratus selepas penggunaan harian yang meluas. Memiliki rupa pembungkusan unik, Sony Xperia 5 V menggunakan elemen 99 peratus bahan kitar semula diperbuat daripada campuran buluh, gentian tebu serta SORPLAS™ iaitu plastik kalis api.

Kelebihan Sony Xperia 5 V:

  • Ada fungsi kamera Exmor T
  • Hasil penyuntingan video seperti profesional
  • Miliki kualiti imej tinggi TV BRAVIA® Sony X1™
  • Pengecasan bateri yang pantas

Kekurangan Sony Xperia 5 V:

  • Untuk pasaran Malaysia terdapat satu warna sahaja iaitu hitam

Spesifikasi Sony Xperia 5 V:

Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
Warna: Hitam
Harga: Bermula RM4,499.00

Realme GT3 (bermula RM2,799.00)

Realme GT3 (bermula RM2,799.00)

Realme memperkenalkan generasi baharu telefon pintar keluarannya dikenali sebagai siri Realme GT3. Realme GT3 dikuasakan dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 bersama binaan 4nm serta dipadankan dengan memori (RAM) variasi 8GB, 12GB dan 16GB binaan LPDDR5X. Peranti baharu ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama berkeupayaan 50MP sudut lebar, lensa sudut ultra lebar 8MP dan lensa mikroskop untuk kepenggunaan Street Photography 2MP. Realme GT3 memiliki skrin berukuran 6.74 inci dengan paparan OLED resolusi 2772 x 1240.
Turut dilengkapi dengan kadar segar semula 144Hz sekali gus sesuai untuk semua kandungan khusus permainan dan memberikan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik. Lebih menarik, Realme GT3 merupakan peranti pertama yang menawarkan pengecasan pantas pertama dengan 240W. Pengguna hanya memerlukan 80 saat untuk kapasiti bateri 20 peratus dan hanya mengambil masa sembilan minit 30 saat untuk pengecasan penuh. Untuk aturan keselamatan, Realme GT3 ini dilengkapi dengan imbasan cap jari biometril di bawah skrin, penting untuk privasi pemilik.

Kelebihan Realme GT3:

  • Pengecasan pantas dan laju
  • Paparan 144Hz yang terang
  • Cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 memuaskan
  • LED pemberitahuan RGB yang menarik

Kekurangan Realme GT3:

  • Tiada sokongan kad microSD

Spesifikasi Realme GT3:

Pemprosesan: Snapdragon 8+ 5G Chipset
Warna: Pulse White, Racing Purple
Harga: Bermula RM2,799.00

Vivo X100 (bermula RM3499.00)

Vivo X100 (bermula RM3499.00)

Vivo Malaysia memulakan tahun baru dengan melancarkan telefon pintar Vivo X100 untuk pasaran tempatan pada 3 Januari 2024. Vivo X100 menampilkan kaca belakang AG tahan lasak, dengan reka bentuk minimalis serta premium. Vivo X100 diperkenalkan dengan skrin 6.78-inci beresolusi 2,800 x 1,260 piksel serta paparan terang sehingga 120Hz. Pemprosesannya merupakan keluaran terkini dari MediaTek, Dimensity 9300 memberikan pengalaman fotografi tahap profesional yang unggul. Vivo X100 menawarkan tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP, telefoto 64MP dan ultra lebar 50MP.
Ia juga menawarkan sokongan melaraskan bokeh selepas tangkapan gambar dibuat. Telefon pintar dengan penarafan kerintangan IP68 ini mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan kadar pengecasan pantas 120W. Terdapat lima pilihan konfigurasi RAM dan storan untuk Vivo X100 iaitu 12GB + 256GB, 16GB + 256GB, 16GB + 512GB, 16GB + 1TB, dan LPDDR5T. Untuk pra tempahan awal Vivo X100, pembeli akan menerima Vivo TWS Air bernilai RM179 secara percuma. Malah jaminan tambahan 1 tahun, 180 hari perlindungan skrin, rebat tukar beli RM500 dan pembelian secara ansuran dengan 0% faedah turut diberikan.

Kelebihan Vivo X100:

  • Reka bentuk minimalis & premium
  • Kamera belakang yang luar biasa
  • Paparan yang menakjubkan 120Hz
  • Hayat bateri panjang & pengecasan pantas

Kekurangan Vivo X100:

  • Pra-Tempahan awal diperlukan (Dilancarkan 3 Januari 2024)

Spesifikasi Vivo X100:

Pemprosesan: MediaTek Dimensity 9300 chipset
Warna: Startrail Blue, Asteroid Black
Harga: Bermula RM3,499.00

TECNO Spark 20 (bermula RM499.00)

TECNO Spark 20 (bermula RM499.00)

Edisi Spark 20 di bawah jenama TECNO mendapat sambutan yang menggalakan dek kerana harga yang ditawarkan tersangat mampu milik untuk sebuah telefon pintar. Walaupun TECNO Spark 20 ditawarkan pada harga yang rendah, namun pembelian telefon pintar ini berbaloi dengan penetapan ciri spesifikasi yang baik. TECNO Spark 20 mempunyai kamera 32MP Glowing Selfie lengkap dengan 3 mod cahaya. Pengguna boleh melaras pelbagai jenis pencahayaan menggunakan tetapan Dual Color Temperatre Flash. TECNO Spark 20 juga hadir dengan ruang simpanan yang besar berkapasiti 256 GB.
Bagi kaki gaming tidak perlu risau kehabisan ruangan untuk menyimpan kerana saiz memorinya yang luas membolehkan menyimpan segala fail keperluan tanpa perlu membuang fail lama. Dengan saiz simpanan berkapasiti besar, TECNO Spark 20 didatangkan dengan 16 GB RAM, agar peranti lancar pada tahap maksimum. TECNO Spark 20 dilengkapi dengan bateri bersaiz 5000mAh dapat memanjangkan lagi masa untuk bermain game, menonton filem serta video kegemaran. Turut hadir ialah penderia cap jari yang dipasang di sisi, pembesar suara stereo dwi, bicu fon kepala 3.5mm, penyambung USB-C dan Android 13 melalui platform HiOS 13 jenama TECNO.

Kelebihan TECNO Spark 20:

  • Skrin LCD 6.6-inci beresolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz,
  • Bermain game lebih lancar, bebas lag
  • Memori besar iaitu sebanyak 256GB ROM + 16GB RAM
  • Kapasiti bateri sebesar 5000mAh dengan pengecasan 18W

Kekurangan TECNO Spark 20:

  • Permintaan tinggi. Stok terhad dan cepat habis

Spesifikasi TECNO Spark 20:

Pemprosesan: Mediatek MT6769Z Helio G85
Warna: Cyber White, Gravity Black
Harga: Bermula RM499.00

Sudah ramai pengguna hari ini yang celik teknologi dan bijak memilih pelbagai telefon pintar daripada pelbagai aspek model, harga, dan jenama. Permulaan bulan baru untuk tahun 2024, ramai yang mengambil peluang untuk menukar gajet seperti telefon pintar sesuai dengan peredaran zaman. Mana tidaknya, telefon pintar terkini pastinya menjadi kegilaan generasi digital jika ada model baharu diperkenalkan. Satu demi satu model dikeluarkan serentak, namun tetap menerima sambutan hangat dan laris. Apa pun, sebelum membeli telefon pintar idaman, pastikan wang dilaburkan setimpal dengan fungsi, kegunaan, kualiti seterusnya spefisikasi ditawarkan telefon pintar berkenaan.

Tip untuk anda sebelum membeli telefon pintar di sebuah premis jualan, jangan terus beli sebaliknya kunjungi dua tiga kedai yang menawarkan telefon dan aksesori terlebih dulu bagi membuat perbandingan harga. Pilih yang menawarkan harga paling rendah berserta promosi sampingan lain terutamanya ketika awal tahun dan musim perayaan. Memang banyak hadiah menarik yang bakal anda terima. Jika boleh, cuba tawar-menawar untuk mendapatkan pembelian bernilai. Selamat mencuba!



Related posts