Kompilasi Senarai Set Jimat Menu Rahmah Yang Terdapat Di Seluruh Malaysia

Kompilasi Senarai Set Jimat Menu Rahmah Yang Terdapat Di Seluruh Malaysia
Gaya hidup


Peningkatan harga bahan mentah telah membawa kepada kenaikan harga makanan di rangkaian syarikat dan restoran-restoran besar dan kecil. Sebagai satu langkah membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, kerajaan telah mewujudkan sebuah inisiatif kemudahan rakyat iaitu Menu Rahmah.

Menu Rahmah adalah sebuah set menu jimat berharga RM5 yang dikhususkan untuk golongan yang memerlukan dalam memudahkan urusan mereka untuk membeli makanan. Banyak syarikat-syarikat serta restoran mula memberikan respon dan sambutan yang baik terhadap inisiatif dan objektif ini. Semenjak diperkenalkan, terdapat banyak pilihan menu set jimat yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia dengan harga yang sangat mesra poket.

Bukan itu sahaja, menu-menu yang disenaraikan juga sangat menarik dan berbaloi dengan harganya. Jadi, khas buat anda yang tercari-cari syarikat atau restoran yang menawarkan set jimat Menu Rahmah. jom kita lihat senarai kompilasi 10 set jimat Menu Rahmah yang terdapat di Malaysia ketika ini.

Mcdonald’s

Mcdonald’s
Siapa kata restoran makanan segera seperti Mcdonald’s ini hanya untuk golongan-golongan atasan dan pertengahan? Mcdonalds atau lebih dikenali sebagai Mekdi, iaitu sebuah rangkaian restoran makanan segera yang besar di Malaysia juga ada menawarkan set jimat Menu Rahmah Kasih Sayang yang baru diperkenalkan. Dengan hanya RM5, anda mempunyai pilihan untuk membeli tiga set jimat yang ditawarkan oleh Mcdonalds iaitu set burger ayam dan teh ais limau (kecil), bubur ayam dan teh ais limau (kecil) serta McEgg dan teh ais limau (kecil). Menu Rahmah Mcdonalds ini boleh didapati di semua 340 cawangan restoran Mcdonald’s seluruh Malaysia. Dan lebih menarik lagi, anda juga boleh membuat pesanan set jimat menu rahmah ini melalui aplikasi Mcd pada harga yang sama dengan restoran.

Info

Menu Burger ayam + teh ais limau (kecil), bubur ayam + teh ais limau (kecil) dan McEgg + teh ais limau (kecil)
Harga RM5
Waktu Operasi 6.30 Pagi – 12.00 Malam.
Pautan https://m.facebook.com/My.McDonalds/photos/a.354401130022/10167355262615023/

Mydin

Mydin
Mydin adalah sebuah pusat membeli belah yang mempunyai banyak cawangan di Malaysia. Ia sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana harga barangan yang adalah ditawarkan adalah lebih murah dan mesra poket. Sebagai inisiatif menyambut saranan kerajaan Malaysia, Mydin adalah diantara syarikat terawal yang memperkenalkan set jimat Menu Rahmah. Dengan hanya RM4.90, anda akan mendapat sebuah set makanan tengahari atau malam yang seimbang merangkumi nasi beserta pilihan protein iaitu ayam atau ikan serta sayur dan juga air mineral. Lebih menarik lagi, ianya tidak hanya disasarkan untuk golongan B40 sahaja. Menurut Pengarah Urusannya, semua rakyat Malaysia layak untuk membeli set jimat Menu Rahmah Mydin ini tanpa sebarang halangan.

Info

Menu Nasi Putih + pilihan protein ayam atau ikan + sayur dan air mineral
Harga RM4.90
Waktu Operasi 8.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/story.php/?story_fbid=6276344339066783&id=162993470401931&_rdr

AEON Big

AEON Big
Aeon Big baru-baru ini juga telah menyahut seruan kerajaan dengan turut memperkenalkan beberapa set menu rahmah. Dengan hanya RM4.95, anda boleh menikmati lauk sotong. Menu Rahmah di Aeon Big mempunyai lima set iaitu Menu Rahmah Sotong, Menu Rahmah Ayam Hitam, Menu Rahmah Ayam Masak Merah, Menu Rahmah Ikan dan Menu Rahmah Ikan Lemak. Kesemua ini didatangkan dengan set lengkap iaitu nasi, sayur dan juga sambal termasuk air mineral. Bukan itu sahaja, AEON big juga turut melancarkan Program Rahmah yang lain iaitu, Jualan Rahmah yang merupakan konsep jualan murah dengan menawarkan harga barangan keperluan sehingga 30% lebih rendah. Bakul Rahmah seperti sumbangan kepada 180 keluarga dari kumpulan B40 dan miskin tegar di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Perak, dan Pahang serta Pakej Rahmah iaitu penyediaan pakej barangan keperluan harian bernilai RM50 di seluruh cawangan.

Info

Menu Menu Rahmah Sotong, Menu Rahmah Ayam Hitam, Menu Rahmah Ayam Masak Merah, Menu Rahmah Ikan dan Menu Rahmah Ikan Lemak.
Harga RM4.95
Waktu Operasi 8.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://m.facebook.com/MYAEONBiG/posts/9269391976411925/

Texas Chicken

Texas Chicken
Texas Chicken pun tidak ketinggalan dalam memperkenalkan Menu Rahmah. Bermula 7 Mac 2023, anda dapat menikmati aneka hidangan di Texas Chicken dengan harga RM5 sahaja. Terdapat tiga set jimat Menu Rahmah yang ditawarkan di Texas Chicken iaitu Spicy Korean Rice Bowl & air minuman, Buttermilk Rice Bowl & air minuman serta Smoky BBQ Flatbread & air minuman. Kesemua set menu rahmah ini boleh dibeli melalui dine in atau take away di semua cawangan Texas Chicken seluruh Malaysia. Waktu pembelian juga terhad iaitu bermula pada jam 12.00 tengah hari hingga 3 petang sahaja. Tawaran ini tidak sah di cawangan KLIA, Genting dan KLCC. Selain itu, ia juga tidak sah melalui aplikasi penghantaran makanan, trak makanan atau mana-mana kupon, tawaran atau promosi lain.

Info

Menu Spicy Korean Rice Bowl & air minuman, Buttermilk Rice Bowl & air minuman serta Smoky BBQ Flatbread & air minuman.
Harga RM5
Waktu Operasi 9.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/TexasChickenMalaysia/photos/5981141211969453?locale=ms_MY

A&W

A&W
Sebagai sebuah rangkaian restoran makanan segera yang terkenal dan telah lama bertapak di Malaysia, A&W yang terkenal dengan minuman ikonik rootbeer nya ini mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Menu Rahmah yang digelar Rooty Rahmah. Melalui Rooty Rahmah, anda dapat menikmati tiga jenis burger dengan harga hanya RM 5 sahaja. Burger yang ditawarkan menerusi Rooty Rahmah ini ialah Cheese Burger, Chicken Sandwich dan Fish Sandwich. Senang sahaja cara untuk mendapatkannya, anda boleh membeli secara dine in atau take away di mana-mana cawangan A&W seluruh Malaysia kecuali di cawangan Malaysia Timur. Yang penting, tiada had masa dan boleh beli bila-bila masa selagi outlet masih dibuka.

Info

Menu Cheese Burger, Chicken Sandwich dan Fish Sandwich.
Harga RM5
Waktu Operasi 10.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/anwmalaysia/photos/5967589096654099

MarryBrown

MarryBrown
Sebagai sebuah rangkaian restoran makanan segera yang mempunyai lebih 500 cawangan di 16 buah negara, MarryBrown juga menyertai inisiatif Menu Rahmah dengan menyediakan “sesuatu yang berbeza” pada harga yang berpatutan. Dengan harga hanya RM5, MarryBrown telah memperkenalkan dua set Menu Rahmah iaitu Menu Rahmah Burger Ayam dan Menu Rahmah Nasi Kari. Kedua-dua set ini didatangkan juga dengan air minuman berjenama Dasani. Pelanggan berpeluang untuk menikmati hidangan ini selagi stok masih ada. Ia boleh didapati secara dine-in atau take away bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang dan 6 petang hingga 8 malam pada setiap hari di semua cawangan Marrybrown seluruh negara.

Info

Nama Restoran MarryBrown
Menu Menu Rahmah Burger Ayam dan Menu Rahmah Nasi Kari.
Harga RM5
Waktu Operasi 10.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/MarrybrownMalaysia/posts/574853398000481/

Burger King

Burger King
RM5 untuk satu set Burger di Burger King? Ianya tidak mustahil lagi dengan Menu Rahmah. Lebih-lebih lagi Burger King yang muncul sebagai sebuah rangkaian restoran makanan segera pertama yang menawarkan inisiatif ini. Terdapat dua set jimat ditawarkan menerusi Menu Rahmah di Burger King ini iaitu Chick ‘N Crisp dan juga Cheesy Beef. Kedua-dua burger ini didatangkan dengan air minuman berjenama Dasani sebagai sebuah set lengkap. Tawaran ini boleh didapati di semua cawangan Burger King yang terletak di semenanjung Malaysia sahaja. Ianya tidak boleh didapati di cawangan Sunway Lagoon, Medini Mall, Johor Premium Outlets, Genting Highland Premium Outlet, Mitsui Outlet Park, Langkawi dan mana-mana lapangan terbang.

Info

Menu Chick ‘N Crisp dan juga Cheesy Beef dengan air minuman Dasani
Harga RM5
Waktu Operasi 10.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/bkmalaysia/photos/a.597377210319994/6045215248869469/?type=3

Oldtown White Coffee

Oldtown White Coffee
Oldtown White Coffee, sebuah restoran berkonsepkan kopitiam moden yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan rangkaian kopi resipi tempatan juga turut serta dalam inisiatif Menu Rahmah ini. Menawarkan tiga set jimat Menu Rahmah, anda dapat menikmati set nasi lemak beserta dengan air limau dengan harga RM 4.50 hingga RM5 sahaja. Ketiga-tiga menu tersebut ialah Nasi Lemak Rahmah with sausage dengan Lime Drink, Nasi Lemak Rahmah dengan Lime Drink serta Nasi Lemak Rahmah with Minced Chicken dengan Lime Drink. Ianya nampak sangat berbaloi dengan kuantiti makanan yang banyak. Anda boleh membeli set menu rahmah ini menerusi dine-in sahaja di semua outlet Oldtown White Coffee di seluruh Malaysia.

Info

Menu Nasi Lemak Rahmah with sausage dengan Lime Drink, Nasi Lemak Rahmah dengan Lime Drink serta Nasi Lemak Rahmah with Minced Chicken dengan Lime Drink.
Harga RM4.50 – RM5.00
Waktu Operasi 10.00 Pagi – 10.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/139480122842692/posts/pfbid02n2KTQqpnGMfpHMJJLikD6FhQW8UEav5PY8cxYswhDKTbjaG617js7n95QE3k8EU9l/?mibextid=cr9u03&_rdr

Potato Story and Potato Story Plus

Potato Story and Potato Story Plus
Potato story adalah sebuah rangkaian makanan segera berasaskan kentang yang berpusat di negeri Sarawak dan mempunyai banyak cawangan di sana termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan. Apa yang menariknya, sebagai salah satu usaha menyahut seruan kerajaan, restoran ini telah memperkenalkan lima jenis Menu Rahmah mengikut hari. Triangle Hash Brown untuk hari isnin, Cheesy Wedges untuk hari selasa, Chicken Tempura Nugget untuk hari rabu, Potato Chips untuk hari khamis dan Sweet Potato Fries untuk hari Jumaat. Kesemua menu ini boleh didapati dengan harga RM5 sahaja. Anda juga boleh menambah hanya RM3 untuk mendapatkan classic milk tea bagi hidangan yang lengkap.

Info

Menu Triangle Hash Brown, Cheesy Wedges, Chicken Tempura Nugget, Potato Chips dan Sweet Potato Fries.
Harga RM5.00
Waktu Operasi 9.00 Pagi – 8.00 Malam.
Pautan https://www.facebook.com/PotatoStory/

Sehingga kini, terdapat banyak rangkaian restoran serta syarikat mula memperkenalkan set jimat Menu Rahmah sebagai satu langkah menyokong pertumbuhan ekonomi negara disamping membantu mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang dan sara hidup yang tinggi lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang membaik pulih setelah pandemik beberapa tahun yang lalu.

Untuk mendapatkan lebih info berkenaan dengan senarai premis makanan yang menawarkan Menu Rahmah, anda boleh layari https://menurahmah.kpdn.gov.my/senarai untuk mendapatkan senarai restoran-restoran atau syarikat di seluruh Malaysia.

Walaupun tiada sebarang halangan untuk semua golongan membeli set jimat Menu Rahmah, tetapi lebih baik jika anda utamakan mereka yang sangat memerlukan, lebih-lebih lagi golongan b40 dan ke bawah. Golongan ini adalah yang paling terkesan dan insiatif ini diwujudkan bagi membantu mereka khususnya.



Related posts