Tandakan Kalendar Anda! Ini 5 Pilihan Teratas Filem Hollywood Paling Dinantikan 2023

Tandakan Kalendar Anda! Ini 5 Pilihan Teratas Filem Hollywood Paling Dinantikan 2023
Gaya hidup


2023 boleh dikatakan tahun yang menarik untuk anda ‘laburkan wang’ di pawagam dan menonton filem-filem yang hebat. Dari filem animasi, komedi romantik, superhero, pengembaraan hinggalah ke filem aksi. Ada beberapa filem animasi yang dahulunya hanya diketahui kisahnya menerusi barang permainan, e-permainan juga adaptasi kepada siri TV ataupun filem animasi seperti The Super Mario Bros.
Tahun ini juga pastinya menjanjikan pengalaman terbaik termasuklah barisan filem-filem aksi dan superhero Hollywood yang bakal menjengah pawagam berdekatan seperti GSC, TGV atau MBO. Walaupun ada berpuluh-puluh filem terbaik yang akan ditayangkan, ini filem harus ditonton pilihan kami. Tandakan kalander anda, siapkan ‘popcorn’, jangan lepaskan peluang menonton 5 pilihan teratas filem Hollywood paling dinantikan. Mari kita lihat senarai filem-filem antarabangsa yang ‘awesome’ dan bakal muncul di pawagam berdekatan merentasi setiap genre sepanjang tahun 2023 ini.

Ant-Man and The Wasp: Quantumania

Ant-Man and The Wasp: Quantumania
Ant-Man and The Wasp: Quantumania merupakan filem Marvel Cinematic Universe yang ditunggu-tunggu, terutama sekali peminat Marvel. Mana tidaknya filem Ant-Man yang pertama ditayang adalah kira-kira lapan tahun lepas pada tahun 2015. Ant-Man and The Wasp: Quantumania merupakan garapan dari pengarah Peyton Reed, penulis skrip Jeff Loveness, dan dibintangi oleh Paul Rudd, Evangeline Lilly, Michael Douglas, Michelle Pfeiffer, Kathryn Newton, Jonathan Majors, serta Randall Park.

Ant-Man and The Wasp: Quantumania memperlihatkan kehidupan baru Scott Lang atau Ant-Man. Dulu dia dianggap sebagai penipu dan pencuri, kini popular dan disenangi ramai kerana identitinya sebagai member Avengers. Ketika Scott Lang mengadakan pertemuan bersama Dr. Hank Pym, Janet Van Dyne, Hope dan anak perempuan Scott Lang iaitu Cassie dalam sekelip mata mereka terhubung dengan tempat yang jauh dan janggal iaitu Quantum.
Pengembaraan bermula setelah Scott mencipta sebuah alat seakan satelit yang mampu berhubung dengan dunia lain lalu mengaktifkannya. Malangnya, kesemua mereka telah bertukar menjadi kecil. Di Quantum, mereka perlu bertempur dengan pelbagai mahkluk asing dan tentera musuh utama di bawah pemerintahan Kang The Conqueror. Berjayakah mereka melawan musuh dan kembali ke dunia asal? Jangan lupa untuk saksikan Ant-Man and The Wasp: Quantumania di pawagam tidak lama lagi.

Spesifikasi Ant-Man and The Wasp: Quantumania

Genre Aksi, Superhero
Durasi 120 minit
Tayangan 17 Februari 2023
Pelakon Paul Rudd, Evangeline Lilly, Jonathan Majors, Michelle Pfeiffer, Michael Douglas, Kathryn Newton, David Dastmalchian, William Jackson Harper, Katy O’Brian, Bill Murray

Trailer

John Wick: Chapter 4

John Wick: Chapter 4
Pengakhiran John Wick: Chapter 3 yang ‘tergantung’ membuatkan peminat tertanya-tanya sama ada akan ada sambungan atau pun tidak untuk siri ini. Nampaknya benar Wick akan kembali untuk memusnahkan ‘High Table’ dalam John Wick: Chapter 4. Filem aksi ini diarah oleh Chad Stahelski serta dibintangi oleh Reeves, Donnie Yen, Laurence Fishburne, Lance Reddick, Bill Skarsgård, Rina Sawayama, Shamier Anderson dan Ian McShane.
John Wick: Chapter 4 bakal memberi kelainan menakjubkan untuk sekuel keempat filem berkenaan dan akan membuka satu lembaran baharu dengan peningkatan aksi pada tahap yang lebih tinggi dan memuaskan. John Wick Chapter 4 juga akan menampilkan ramai pendatang baharu yang akan melengkapkan lagi jalan cerita. Akan ada beberapa aksi dalam filem ini yang sangat menakjubkan dan watak baharu yang menyenangkan.
John Wick: Chapter 4 memaparkan dunia misteri yang lebih mendalam dengan memaparkan watak pelakon seni bela diri terkenal, Donnie Yen. Donnie yang popular dalam filem aksi ‘IP Man’ akan memegang watak sebagai rakan lama John Wick yang berkongsi sejarah dan juga musuh yang sama. Penonton pasti akan tertunggu-tunggu tayangan filem John Wick: Chapter 4 ini yang menjanjikan kepuasan dan kelainan pada tahap maksimum. Apakah perkembangan plot John Wick: Chapter 4? Saksikan Mac 2023 ini di pawagam utama di Malaysia.

Spesifikasi John Wick: Chapter 4

Genre Aksi, Thriller
Durasi N/A
Tayangan 24 Mac 2023
Pelakon Keanu Reeves, Donnie Yen, Bill Skarsgård, Laurence Fishburne, Hiroyuki Sanada, Ian McShane

Trailer

The Super Mario Bros Movie

The Super Mario Bros Movie
The Super Mario Bros Movie filem komedi pengembaraan fantasi animasi komputer yang akan menemui penonton di pawagam pada April 2023. The Super Mario Bros Movie berdasarkan francais permainan video Mario Nintendo diterbitkan oleh Illumination Entertainment dan Universal Pictures. The Super Mario Bros Movie adalah adaptasi filem ketiga ‘Mario’, selepas filem anime Jepun Super Mario Bros.: The Great Mission to Rescue Princess Peach! (1986) dan filem aksi Super Mario Bros. (1993).
The Super Mario Bros Movie diarahkan oleh Aaron Horvath dan Michael Jelenic menampilkan pelakon suara seperti selebriti Chris Pratt, Anya Taylor-Joy, Charlie Day, Jack Black, Keegan-Michael Key, Seth Rogen, Fred Armisen, Sebastian Maniscalco, Charles Martinet dan Kevin Michael Richardson. The Super Mario Bros Movie mengisahkan watak permainan Mario berasal dari Itali yang merupakan seorang tukang paip terkenal.
Mario mengembara melalui dunia bawah tanah bersama dengan abangnya, Luigi demi untuk menyelamatkan sang puteri dikenali sebagai Princess Peach yang telah ditangkap oleh penjahat. Pelbagai aksi lucu, suka, duka dan mendebarkan terjadi sepanjang pengembaraan Mario dan Luigi. The Super Mario Bros Movie sebuah filem yang wajib ditonton seisi keluarga tidak lama lagi.

Spesifikasi The Super Mario Bros Movie

Genre Animasi, Fantasi, Pengembaraan
Durasi N/A
Tayangan 7 April 2023
Pelakon Chris Pratt (Mario) Anya Taylor-Joy (Princess Peach), Charlie Day (Luigi), Jack Black (Bowser), Keegan-Michael Key (Toad), Seth Rogen (Donkey Kong), Fred Armisen (Cranky Kong), Sebastian Maniscalco (Foreman Spike), Kevin Michael Richardson (Kamek)

Trailer

Indiana Jones And the Dial of Destiny

Indiana Jones And the Dial of Destiny
Watak dan muzik temanya sentiasa dikenali. Bintang Harrison Ford kembali sebagai Indiana Jones dalam filem ikonik sekuel kelima Indiana Jones And the Dial of Destiny yang sinonim dengannya. Diarahkan oleh James Mangold filem Indiana Jones And the Dial of Destiny ini akan menemui penonton pada penghujung Jun 2023 di pawagam. James Mangold mengambil alih kerusi pengarah pada siri lalu selepas dikosongkan oleh Steven Spielberg.
Namun begitu, Steven Spielberg kekal sebagai salah seorang penerbit untuk filem ini. Selain Harrison Ford, Indiana Jones And the Dial of Destiny menampilkan barisan pelakon hebat termasuk, Phoebe Waller-Bridge, Antonio Banderas, John Rhys-Davies, Shaunette, Renée Wilson, Thomas Kretschmann, Toby Jones, dan Boyd Holbrook. Indiana Jones adalah watak seorang lelaki yang bernama Dr. Henry Walton ‘Indiana’ Jones Jr. mengembara satu dunia untuk mencari artifak yang berharga sebelum jatuh kepada individu yang salah.
Filem pertama Indiana Jones telah menemui penonton pada tahun 1981 dengan judul Raiders of the Lost Ark, Temple of Doom (1984), The Last Crusade (1989), dan The Kingdom of the Crystal Skull (2008). Selepas 15 tahun sekuel kali ini, Indiana Jones and the Dial of Destiny pastinya membawa penonton mengembara jauh ke destinasi misteri untuk menyelesaikan pelbagai misi rahsia yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Spesifikasi Indiana Jones And the Dial of Destiny

Genre Aksi, Pengembaraan
Durasi N/A
Tayangan 30 Jun 2023
Pelakon Harrison Ford, Phoebe Waller-Bridge, Antonio Banderas, John Rhys-Davies, Shaunette, Renée Wilson, Thomas Kretschmann, Toby Jones, Boyd Holbrook

Trailer

Barbie

Barbie
Warner Bros dan Mattel telah menjalin kerjasama untuk membawa filem Barbie versi ‘live-action’ ke kehidupan realiti bakal menemui penonton pada Julai 2023. Margot Robbie melakonkan watak sebagai peneraju utama dibawah syarikat LuckyChap Entertainment bersama Ryan Gosling, Simu Liu, Michael Cera, Kate McKinnon, Emma Mackey, Helen Mirren, Will Ferrell Tom Ackerley dan Josey McNamara.
Filem ‘live-action’ itu diumumkan dalam perjanjian pertama yang diterajui oleh Mattel Films yang baru dicetak Mattel. Filem Barbie diarah oleh pengarah Greta Gerwig serta penulis Gerwig dan Noah Baumbach bakal memberikan impak yang positif kepada kanak-kanak dan penonton di seluruh dunia. Filem ini mengisahkan Barbie yang perlu meneruskan kehidupannya sebagai manusia setelah dibuang daripada Barbieland.
Selepas diusir dari Barbieland kerana menjadi anak patung yang kelihatan kurang sempurna, Barbie pergi ke dunia manusia untuk mencari kebahagiaan sejati. Nantikan filem Barbie yang bakal mula ditayangkan tidak lama lagi. Pastinya mereka yang membesar dengan patung Barbie tidak sabar untuk menonton file mini.

Spesifikasi Barbie

Genre Fantasi, Romantik Komedi
Durasi N/A
Tayangan 21 Julai 2023
Pelakon Margot Robbie (Barbie), Ryan Gosling (Ken), Simu Liu, Michael Cera, Kate McKinnon, Emma Mackey, Helen Mirren, Will Ferrell

Trailer

Sejak pandemik yang lalu, kebanyakkan filem antarabangsa yang bakal ditayangkan, dihentikan seketika laluan tayangannya. Ada filem yang sudah bertahun disiapkan, namun masih belum ada ‘lampu hijau’ untuk ditayangkan kerana perlu mengikut giliran.

Pembuka tahun ini, sudah pasti peminat filem semua sedang ternanti-nanti filem Hollywood hebat apa yang bakal disajikan tahun 2023 nanti. Kebanyakan penilai filem mengatakan bahawa tahun 2023 bakal menjadi tahun yang paling hebat buat industri perfileman dengan adanya banyak filem box office yang bakal menemui penonton di pawagam.

Menonton filem di pawagam adalah aktiviti menyeronokkan bersama keluarga atau teman-teman tersayang. Hiburan seperti ini pastinya perlu dirancang dengan teliti kerana setiap bulan untuk tahun 2023 ada pelbagai tayangan filem menarik yang bakal menarik minat kalian ke panggung wayang.



Related posts