Mesti Tonton! 5 Filem Terbaharu Bakal Ditayangkan Sep & Okt 2022 Akan Datang Di Malaysia

Hiburan


Pembukaan semula panggung wayang sejak beberapa bulan lalu mendapat sambutan hangat, terutama pada hujung minggu dan sebelah malam apabila jumlah pengunjung dilihat agak ramai. Bagi sesetengah individu, menonton wayang adalah aktiviti menyeronokkan bersama keluarga atau teman-teman tersayang. Hiburan seperti ini pastinya perlu dirancang dengan teliti kerana setiap bulan ada pelbagai tayangan filem menarik yang bakal menarik minat kalian ke panggung wayang.

Hampir memasuki tiga perempat bulan terakhir untuk 2022, semestinya ada banyak tayangan filem terbaharu yang dinantikan-nantikan dan bakal menggegar pawagam. Setiap filem dengan pelbagai genre ini ada pengikutnya yang tersendiri tidak kira sama ada filem antarabangsa atau pun filem tempatan. Antara 5 filem terbaharu bakal ditayangkan untuk bulan September dan Oktober 2022 akan datang di Malaysia seperti Crayon Shinchan The Movie: The Tornado Legend Of Ninja Mononoke, Rasuk, Smile, Biko dan Black Adam. Jom tonton!

Crayon Shinchan The Movie: The Tornado Legend of Ninja Mononoke

Animasi Crayon Shinchan digemari pelbagai peringkat umur. Ia adalah siri manga Jepun yang ditulis dan diilustrasikan oleh Yoshito Usui bermula tahun 1990 dan kemudiannya menjadi siri televisyen dengan siaran lebih 1000 episod.

Untuk peminat si kecil kening tebal ini, Crayon Shinchan The Movie: The Tornado Legend of Ninja Mononoke bakal menemui anda September 2022 ini. Filem untuk tayangan tahun ini merupakan filem ke-30 bagi animasi Crayon Shinchan pastinya mengujakan setiap pengikut setianya.

Crayon Shinchan The Movie: The Tornado Legend of Ninja Mononoke diarahkan oleh Masakazu Hashimoto dan tulisan hasil karya Kimiko Ueno. Filem ini mengisahkan kisah pengembaraan keluarga Nohara ke perkampungan Ninja. Semuanya bermula setelah seorang wanita bernama Chiyome Hesogakure dan kanak-kanak bernama Chinzō melawat keluarga Nohara. Mereka mendakwa bahawa Shinnosuke (Shinchan) adalah keluarga kandung terdekat dan membawanya pergi ke perkampung ninja.

Keluarga Hesogakure individu yang bertanggungjawab melindungi ‘pusat bumi’ dengan menyekatnya dengan penyumbat emas tulen dari generasi ke generasi. Jika penyumbat itu tercabut, bumi akan layu, putaran akan berhenti, dan dunia mungkin akan hilang. Adakah Shinnosuke (Shinchan) diberi tanggungjawab menjaga pusat bumi dan mampu melindungi dunia? Saksikan Crayon Shinchan The Movie: The Tornado Legend of Ninja Mononoke dipawagam GSC atau TGV berhampiran anda.

Spesifikasi Crayon Shinchan The Movie: The Tornado Legend of Ninja Mononoke

Trailer: https://youtu.be/OMgG9c4sNAw
Genre: Animasi
Durasi: 100 minit
Tayangan: 22 September 2022
Pelakon: Yumiko Kobayashi (Shinnosuke Nohara), Miki Narahashi (Misae Nohara), Toshiyuki Morikawa (Hiroshi Nohara), Satomi Koorogi (Himawari Nohara), Rina Kawaei (Chiyome Hesogakure), Ayahi Takagaki (Chinzo Hesogakure)

Rasuk

Jangan tersalah antara filem Rasuk tahun 2011 dengan filem Rasuk terkini arahan pengarah James Lee. Filem Rasuk ini bukan kesinambungan daripada yang terdahulu dan langsung tiada kena mengena. Mungkin hanya judul filemnya yang sama kemungkinan akan membuatkan penonton sedikit keliru. Filem Rasuk ini dibintangi oleh Alif Satar, Ikmal Amry, Elisya Sandha, Taufiq Hanafi, dan Ayie Floor 88 boleh mula ditonton di pawagam pada 29 September 2022.

Rasuk mengisahkan seorang guru sekolah terpaksa kembali bekerja walaupun dia masih dalam keadaan trauma akibat daripada tragedi yang menimpanya. Pada hari yang sama, lima pelajar sekolah tempatnya mengajar pergi ke kawasan sungai untuk bermandi-manda dan bersuka ria, Salah seorang daripada mereka menemui botol misteri dan secara tidak sengaja membuka botol tersebut.

Keadaan kemudian menjadi huru-hara apabila satu demi satu pelajar asrama dirasuk sehingga mengancam nyawa. Untuk terus hidup, kesemua mereka perlu bangkit menentang misteri dan berkorban agar keadaan pulih seperti sedia kala. Adakah mereka semua mampu bertahan? Jom tonton filem paling seram untuk tahun 2022 ini.

Spesifikasi Rasuk

Trailer: https://www.youtube.com/watch?v=THcyUFGhVVU
Genre: Seram, Misteri
Durasi: 95 minit
Tayangan: 29 September 2022
Pelakon: Alif Satar, Ikmal Amry, Elisya Sandha, Taufiq Hanafi, Ayie Floor 88

Smile

Satu lagi filem seram bakal menjengah di pawagam pada penghujung September ini. Jika anda pernah melihat trailer filem ini memang agak menggerunkan. Hanya dengan sebuah senyuman mampu membuat bulu roma anda berdiri tegak. ‘Smile’ terbitan Paramount Pictures sebuah filem seram psikologi Amerika ditulis dan diarahkan oleh Parker Finn dalam debut filem cerekanya, berdasarkan filem pendek 2020 Laura Hasn’t Slept.

Smile dibintangi oleh Sosie Bacon, Jessie T. Usher, Kyle Gallner, Robin Weigert, Caitlin Stasey, Kal Penn dan Rob Morgan. Filem Smile ini mengisahkan tentang seorang doktor, iaitu Dr. Rose Cotter (lakonan Sosie Bacon) selepas menyaksikan satu kejadian aneh dan traumatik melibatkan seorang pesakitnya.

Dia kemudian berterusan mengalami kejadian misteri yang tidak diketahui puncanya. Sedikit demi sedikit, gangguan mistik tersebut telah mengancam nyawanya, menyebabkannya terpaksa berhadapan semula dengan kisah silamnya, dan cuba melepaskan diri dari gangguan tersebut. Mampukah Dr. Rose Cotter bertahan atau berserah dengan kejadian misteri tersebut? Smile, filem wajib tonton di pawagam hujung bulan ini.

Spesifikasi Smile

Trailer: https://www.youtube.com/watch?v=BcDK7lkzzsU
Genre: Seram, Misteri
Durasi: 116 minit
Tayangan: 29 September 2022
Pelakon: Sosie Bacon, Jessie T. Usher, Kyle Gallner, Robin Weigert, Caitlin Stasey, Kal Penn dan Rob Morgan.

Biko

Biko merupakan filem kisah hidup dan romantik tempatan arahan Teng Bee terbitan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media. Biko adaptasi dari sebuah filem dari Hong Kong sepatutnya menemui penonton di pawagam pada tahun 2021, tetapi dek wabak pandemik filem ini terpaksa ditangguh jadual tayangannya.

Biko kisah yang sangat dekat dengan golongan marhein mengisahkan kisah seorang anak kecil bernama Biko tinggal bersama ayahnya dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tinggal berdua selepas ibunya meminta cerai. Ayahnya menyaranya dengan bekerja sebagai seorang pemandu lori dan bekerja keras untuk mengejar impian memiliki sebuah rumah selesa untuk Biko, malangnya dia ditipu oleh ejen hartanah. Memburukan lagi keadaan, mereka dihalau dari rumah sewa kerana tidak sempat membayar baki hutang tertunggak.

Tanpa tempat tinggal, mereka berdua tinggal di dalam lori. Sherry sahabat baik Izwan cuba membantu mengubah nasib mereka dua beranak dengan membawa Biko ke ujibakat penyanyi terkenal Sara. Biko sangat berbakat dalam bidang nyanyian. Tanpa diketahui oleh umum, Izwan dan Sara sebelum ini mempunyai hubungan masa lalu.

Spesifikasi Biko

Trailer: https://youtu.be/MHLB6DdeWYY
Genre: Drama, Romantik
Durasi: NA
Tayangan: 13 Oktober 2022
Pelakon: Azrel Ismail, Syed Irfan (Biko), Baby Shima, Sara Ali, Josiah Hogan

Black Adam

Filem adiwira ini adalah antara yang ditunggu-tunggu ramai akan menemui penonton di pawagam pada penghujung Oktober 2022 ini. Black Adam, adiwira Amerika berdasarkan watak DC Comics dilakonkan oleh The Rock atau Dwayne Johnson. Filem ini telah dibangunkan selama lebih sedekad dan bintang utamanya Dwayne Johnson telah terikat pada projek ini sejak tahun 2007 lagi.

Selepas banyak kali ditunda, akhirnya Warner Bros dan DC Extended Universe menghidupkan kembali projek ini dan terpaksa mencari jalan untuk menghubungkan jalan cerita antara Black Adam dan Shazam. Akhirnya terhasil naskah ‘Black Adam’ merupakan sekuel kepada Shazam yang telah ditayangkan pada 2019.

Hampir 5,000 tahun selepas dia dikurniakan kuasa maha kuasa tuhan-tuhan Mesir, dan dipenjarakan, Black Adam kemudian dibebaskan dari kubur duniawinya. Dia bersedia menuntut keadilan di dunia moden. Teruja dengan filem ini? Saksikan pengakhirannya di pawagam berhampiran anda.

Spesifikasi Black Adam

Trailer: https://www.youtube.com/watch?v=mkomfZHG5q4
Genre: Aksi, Pengembaraan, Fantasi
Durasi: 2 jam 35 minit
Tayangan: 20 Oktober 2022
Pelakon: Dwayne Johnson (Teth-Adam/Black Adam), Aldis Hodge (Carter Hall/Hawkman), Noah Centineo (Al Rothstein/Atom Smasher), Sarah Shahi (Professor Adrianna Tomaz), Marwan Kenzari (Ishmael Gregor/Sabbac), Quintessa Swindell (Maxine Hunkel/Cyclone)

Pencinta filem ketika ini pasti setia menanti filem apa yang akan ditayangkan setiap bulan di panggung wayang. Tayangan filem mampu membantu mengurangkan tekanan dan tahap keresahan pencinta filem dalam mengharungi kehidupan hakiki, secara tidak langsung mampu memberi faedah pekerjaan kepada ramai di luar sana. Sebelum ini hampir dua tahun aktiviti ini tidak dapat dilakukan, namun kini hobi ini kembali rancak dilakukan dengan tawarkan persekitaran yang selamat. Jom tengok wayang!

Menonton wayang dapat membantu menaikkan taraf industri perfileman negara. Selain itu, sebagai penonton, anda bebas menyuarakan kritikan dan pendapat tentang kualiti keseluruhan filem yang telah ditontotn. Justeru, penerbit filem tidak kira tempatatan atau antarabangsa dapat memperbaiki kualiti filem ke tahap lebih baik dan bermutu.



Related posts